Changi dinobat lapangan terbang terbaik dunia kali ke-7 berturut-turut
Terminal 2 Lapangan Terbang Changi bakal menjalani projek perluasan selama lima tahun dalam usahanya untuk terus meningkatkan pengalaman para penumpang.
SINGAPURA: Terminal 2 Lapangan Terbang Changi bakal menjalani projek perluasan selama lima tahun dalam usahanya untuk terus meningkatkan pengalaman para penumpang.
Pada Khamis (28 Mac), Changi menerima anugerah terbarunya sebagai lapangan terbang terbaik di dunia buat kali ketujuh berturut-turut. Anugerah itu diberikan oleh Skytrax - sebuah syarikat runding cara penerbangan yang berpangkalan di Britain.
Secara keseluruhannya, ini kali ke-10 Changi dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik di dunia, sejak anugerah itu mula dikeluarkan 20 tahun lalu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo menduduki tangga kedua manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan pula menduduki tangga ketiga.
Lapangan Terbang Changi juga mendahului senarai itu bagi Kemudahan Riadah.
Kerja-kerja perluasan di Terminal 2 akan bermula pada hujung tahun ini - iaitu dari ruang daftar masuk di dewan keberangkatan sehingga ke ruang transit.
Dengan kerja-kerja ini, Terminal 2 bakal berupaya menampung lagi lima juta penumpang setiap tahun berbanding 23 juta pada masa ini.
Inisiatif FAST juga akan diperluaskan dengan menyediakan lebih banyak kios daftar masuk automasi, serta mesin bagasi dan pintu imigresen.
Lapangan terbang Changi juga akan memanfaatkan teknologi mengecam wajah bagi memudahkan proses daftar masuk.
"Kami akan mempertingkat serta menggantikan sistem-sistem dari satu bahagian ke satu lagi bahagian. Kami akan mengatur semula seluruh susun atur dewan daftar masuk di Terminal 2.
"Kami juga akan mengubah susun atur ruang imigresen di dewan keberangkatan. Selain itu, kami juga akan menyediakan lebih banyak ciri-ciri menarik bagi para penumpang di ruang transit," kata Tan Lye Teck, Naib Presiden Eksekutif Pengurusan Lapangan Terbang, Changi Airport Group.
Ciri-ciri lain termasuk ruang runcit serta makanan dan minuman yang lebih besar - iaitu tambahan 20 peratus berbanding sekarang, serta pemandangan ruang udara yang lebih baik.
Kemudahan riadah seperti taman permainan dan ruang berehat juga akan dinaik taraf.
Sementara itu, Changi Airport Group menyatakan bahawa kerja-kerja yang sedang dijalankan di Terminal 1 kini hampir selesai. Kerja-kerja naik taraf dijalankan di dewan keberangkatan, dewan ketibaan serta bagasi, dan sistem pengurusan bagasi.
Kesemua 2,500 ruang tempat letak kereta di Terminal 1 boleh digunakan sepenuhnya apabila Jewel Changi dibuka pada 17 April.
"Kami berharap ini akan menjadikan Lapangan Terbang Changi dan Singapura sebuah tempat yang menarik bagi para pelancong dari seluruh dunia," tambah Encik Tan.
Menurut Changi, lebih 95 peratus ruang runcit Jewel sudahpun disewakan.
Pada dua bulan pertama 2019, Changi menguruskan lebih 10 juta penumpang - iaitu naik sekitar lima peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pada tahun lalu, jumlah rekod 65.6 juta penumpang melalui Lapangan Terbang Changi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.