Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Changi akan tutup Landasan 2 pada tahun depan bagi kerja bina Terminal 5

Lapangan Terbang Changi akan beroperasi menggunakan Landasan 1 dan 3 bermula Oktober tahun depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan terminal kelima dan Zon Perindustrian Changi East.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Nov 2019 07:31PM Dikemas Kini : 05 Nov 2019 12:52AM

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi akan beroperasi menggunakan Landasan 1 dan 3 bermula Oktober tahun depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan terminal kelima dan Zon Perindustrian Changi East.

Lapangan terbang tersebut akan beroperasi menerusi kedua-dua landasan terbang itu bermula 25 Oktober tahun depan dan para penumpang boleh menjangkakan pergerakan lebih lama untuk pesawat ke landasan bagi penerbangan yang diperuntukkan ke Landasan 3, menurut kenyataan media Changi Airport Group (CAG) pada Isnin (4 Nov).

CAG menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), syarikat penerbangan dan pengendali darat untuk memastikan peralihan operasi landasan yang selamat di Changi.

Pembangunan Changi East, yang merangkumi keluasan 1,080 hektar, adalah projek peluasan terbesar Lapangan Terbang Changi dalam tempoh tiga dekad dan dianggarkan siap pada tahun 2030-an.

Pembangunan itu merangkumi Terminal 5 (T5), sistem tiga landasan terbang, Zon Perindustrian Changi East, kemudahan sokongan penerbangan dan darat serta pembinaan terowong dan sistem lain bawah tanah.

"Pembangunan tersebut akan menjamin status Singapura sebagai hab udara dan memastikan ia kekal berdaya saing dan relevan," menurut CAG dalam lamannya.

T5 dibina di atas bidang tanah seluas 1,000 hektar, seluas bandar baru Tampines atau 2.5 kali ganda Marina Bay.

Apabila siap nanti, T5 akan menambah kapasiti tahunan Changi kepada 50 juta penumpang pada awalnya dan ditambah sehingga 70 juta jika perlu.

Ini bermakna Changi boleh menangani sekitar 150 juta penumpang setahun, berbanding 82 juta sekarang.

T5 juga akan menggunakan bekalan tenaga yang boleh diperbaharui dan manfaatkan teknologi seperti kiosk pendaftaran masuk dan meletak bagasi automatik.

Projek yang dijangka menelan belanja puluhan bilion dolar itu akan dihubungkan menerusi sebuah stesen kereta api di Laluan Thomson-East Coast (TEL). Projek Koridor Selatan Changi juga akan menghubungkan T5 dengan laluan berbasikal sepanjang 3.5 kilometer.

Kemudahan kargo Lapangan Terbang Changi, yang buat masa ini bertempat di Pusat Kargo Udara Changi, akan diperluaskan ke Zon Perindustrian Changi East. Zon tersebut akan dibangunkan bagi tujuan muatan udara, khidmat ekspres udara dan aktiviti-aktiviti Menyenggara, Membaiki dan Operasi.

"Landasan udara ketiga sedia ada, yang sebelum ini hanya digunakan pihak tentera, akan dilanjutkan daripada 2.75 kilometer menjadi 4 kilometer untuk menangani pesawat penumpang lebih besar, dan ditukar bagi kegunaan bersama tentera-awam," tambah CAG.

Di bawah program tiga landasan itu, hampir 40 kilometer jalan rayap (taxiway) akan dibina untuk menghubungkan landasan dengan bahagian lain Lapangan Terbang Changi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan