Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Chan Chun Sing: Tidak tepat untuk katakan masyarakat Melayu mempunyai tahap pendidikan rendah

Pada 2019, pelajar Melayu mencatat pencapaian dengan seramai 94 peratus pelajar dari kohort darjah satu pada 2009 berjaya melanjutkan pelajaran mereka hingga ke tahap pos-menengah . Kadar itu hampir sama dengan purata kebangsaan iaitu 97 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pada 2019, pelajar Melayu mencatat pencapaian dengan seramai 94 peratus pelajar dari kohort darjah satu pada 2009 berjaya melanjutkan pelajaran mereka hingga ke tahap pos-menengah . Kadar itu hampir sama dengan purata kebangsaan iaitu 97 peratus.

Selain itu, hanya seorang pelajar Melayu daripada setiap kohort darjah satu sepanjang lima tahun lalu yang gagal melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Oleh itu Menteri Pendidikan Chan Chun Sing menegaskan bahawa adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa masyarakat Melayu setempat mempunyai tahap pendidikan yang rendah.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal dakwaan Anggota Parlimen GRC Sengkang Raeesah Khan yang bertanyakan sekiranya terdapat rancangan yang khusus dan segera bagi menangani isu tahap pendidikan yang rendah dalam kalangan masyarakat Melayu.

Dalam jawapan bertulisnya bagi sidang Parlimen hari ini (6 Jul), Encik Chan berkata masyarakat Melayu sudah mencapai kemajuan yang baik tahun demi tahun.

Cik Raeesah juga bertanya tentang jumlah pelajar Melayu yang diterima masuk ke dalam universiti tempatan dari tempoh 2011 hingga 2020.

Dalam penjelasannya, Encik Chan berkata jumlah pelajar Melayu yang menyertai program ijazah di universiti-universiti berautonomi naik hampir seganda dari 600 pada 2011 kepada lebih 1,000 tahun lalu.

Amalina Abdul Nasir (kiri) dan Muhammad Hafiz Kasman (kanan) merupakan siswa cemerlang di SMU tahun ini. (Gambar: BERITAMediacorp)

Beliau turut berbangga dengan pencapaian pelajar Melayu di peringkat antarabangsa. Misalnya, tinjauan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) baru-baru ini mendapati pelajar Melayu mencatat prestasi lebih baik berbanding para pelajar lain di dunia dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam subjek Matematik. Ini kata Encik Chan menunjukkan mereka mampu berdaya saing dalam ekonomi sejagat.

Bagi memastikan semua pelajar termasuk pelajar Melayu dapat terus mencapai potensi mereka, Encik Chan berkata pemerintah telah menggandakan usaha. Ini dilakukan menerusi pelbagai program, sokongan dan kemahiran yang disediakan di setiap peringkat persekolahan mereka.

Encik Chan juga berkata di samping bantuan yang dihulurkan di sekolah, pihak kementerian akan berganding bahu dengan usaha masyarakat seperti di bawah rangkaian M³ untuk terus mendampingi dan memberi sokongan kepada para pelajar dan keluarga Melayu/Islam menerusi program-program mempersiapkan kanak-kanak prasekolah dan ibu bapa mereka bagi sekolah rendah serta program-program mentor untuk membimbing pelajar supaya dapat melanjutkan pengajian lebih tinggi dan merebut peluang-peluang kerjaya.

Beliau menarik perhatian tentang Projek DIAN@M³ yang akan memberi tumpuan juga kepada kanak-kanak yang menetap di flat-flat sewa supaya terus menerima sokongan tambahan dalam pelajaran dan pembangunan sosial mereka.

Justeru, Encik Chan yakin bahawa kemajuan yang dicapai setakat ini membuktikan bahawa Singapura berada di landasan yang betul dan akan terus memastikan Singapura kekal menjadi masyarakat yang menyediakan peluang untuk semua. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan