Chan Chun Sing: Sektor awam tidak harus gentar hadapi cabaran 10 tahun akan datang
Kepimpinan dan ketahanan untuk kekal relevan akan menjadi cabaran terbesar Singapura, 10 tahun akan datang.
SINGAPURA: Kepimpinan dan ketahanan untuk kekal relevan akan menjadi cabaran terbesar Singapura, 10 tahun akan datang.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Encik Chan Chun Sing yang berkata demikian menambah, untuk mengatasinya, sektor awam perlu mengambil berat tentang kebimbangan masyarakat, memikirkan cara-cara peningkatan dan menjangkakan cabaran-cabaran pada masa hadapan.
Lantaran itu Encik Chan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, turut menggesa semua pegawai awam supaya bersatu menggunakan bakat-bakat sedia ada sebagai pemangkin negara.
Berucap di acara Anugerah Transformasi Sektor Awam pada Jumaat (19 Julai), beliau berkata sektor awam juga tidak harus takut akan cabaran-cabaran atau desakan untuk Singapura berpihak di dunia yang berpecah-belah.
Di acara tersebut, sebanyak 80 anugerah disampaikan kepada individu dan badan-badan pemerintah yang cemerlang.
SITI NATASHAH MOHD: PRIHATIN ATAS BELIA JAGAANNYA
Antara pemerimanya termasuklah Cik Siti Natashah Mohd Nah, yang diiktiraf kerana dedikasi beliau menjalankan tugas.

Empat tahun bertugas di Singapore Girls' Home sebagai seorang Pegawai Pembimbing Belia, Cik Siti Natashah, sudah biasa dengan kerenah belia perempuan di bawah jagaannya.
Antaranya termasuklah kes-kes remaja di bawah jagannya enggan pulang ke Girls' Home kerana tekanan di sekolah. Mujur semua itu dapat dihuraikan.
Malah dedikasi beliau lebih tinggi daripada itu kerana beliau masih terus berhubungan dengan para belia walaupun selepas mereka dibebaskan.
"Pada saya, walaupun ia tidak dikehendaki di dalam jawatan saya, saya terus memberi sokongan kepada belia-belia di Girls’ Home kerana saya rasa ia dapat memberi impak yang besar kepada belia-belia inilah," kata Cik Natashah yang telah membimbing seramai enam belia di bawah jagaannya.
Cik Natashah mendapat Anugerah Mithali Khidmat Cemerlang yang mengiktiraf pegawai awam yang menunjukkan prestasi tinggi dalam perkhidmatan mereka.
MUHD SHAFI'E SAAT: SUNGGUH-SUNGGUH TIMBA ILMU DEMI MUDAHKAN PEKERJAAN SEMUA
Encik Muhd Syafi'e Sa'at pula merangkul Anugerah Mithali SkillsFuture yang diperkenalkan tahun ini bagi para pegawai yang menghayati pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau menonjolkan semangat dedikasi yang tinggi kepada tugasnya selaku Eksekutif Perancangan Bandar dari Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Demi memudahkan proses pekerjaan beliau dan rakan-rakan setugas, beliau mencipta program 'ePIC-ker' yang dapat mengautomasikan proses perbandingan peta-peta demi mengelakkan percanggahan antara agensi.

Dihasilkan dalam masa enam bulan, ia berkat usahanya sendiri melalui kursus-kursus dan latihan terutama dalam bidang Sistem Maklumat Geografik (GIS) yang antara lain dapat menganalisis data geografik.
Menurut Encik Syafi'e yang memulakan kerjayanya di URA sebagai pekerja sambilan pada 2007: "Saya telah mengetahui berbagai cara untuk menggunakan GIS dengan secara efektif dan dengan secara baik."
"Rakan-rakan sekerja saya sering datang kepada saya untuk cari cara-cara untuk membuat kerja mereka lebih baik, lebih efektif menggunai GIS," kata Encik Syafi'e yang juga baru dinaikkan pangkat tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.