Chan Chun Sing minta Dennis Tan beri bukti dakwaan pasukan PAP turunkan poster GE WP di Hougang
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing meminta Anggota Parlimen (AP) pembangkang Dennis Tan untuk memberi bukti dakwaannya bahawa wakil dari parti pemerintah menurunkan poster Parti Pekerja (WP) dari tempat asal ia dipasang di Hougang semasa Pilihan Raya Umum (GE) pada Julai.
Poster menunjukkan calon Parti Pekerja Dennis Tan kelihatan di Hougang Avenue 5 pada 30 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing meminta Anggota Parlimen (AP) pembangkang Dennis Tan untuk memberi bukti dakwaannya bahawa wakil dari parti pemerintah menurunkan poster Parti Pekerja (WP) dari tempat asal ia dipasang di Hougang semasa Pilihan Raya Umum (GE) pada Julai.
Encik Tan, AP WP di Hougang, memberitahu Parlimen pada Isnin (31 Ogos) bahawa seorang penduduk memberitahunya bahawa kejadian itu berlaku semasa kempen GE dan beliau tidak mempunyai "alasan untuk meragukan apa yang dikatakan penduduk itu".
Bercakap semasa sidang Parlimen disambung semula pada Khamis, Encik Chan berkata sesiapa sahaja yang membuat tuduhan sedemikian secara terbuka harus mengemukakan bukti, terutama sekali apabila kenyataan itu dibuat di Parlimen.
"Sejajar dengan semangat politik membina yang kita bincangkan sejak beberapa hari lalu di Dewan ini, tidak mungkin seorang anggota berdiri untuk menimbulkan keraguan dan kemudian tidak mengemukakan bukti dakwaannya," kata Encik Chan pada hari keempat perbahasan Ucapan Presiden.
Encik Chan adalah penolong setiausaha agung kedua Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah.
Oleh kerana Encik Tan tidak hadir di Parlimen pada Khamis, Encik Chan bertanya jika ada mana-mana anggota parlimen WP lain yang ingin menjawab bagi pihaknya.
Namun, tiada yang berbuat demikian. Mediacorp sudahpun meminta ulasan dari Encik Tan.
Encik Tan berjaya mengalahkan Encik Lee Hong Chuang dari PAP untuk mempertahankan kubu kuat WP di Hougang pada GE 10 Julai lalu.
Encik Chan pada Khamis berkata bahawa Jabatan Pilihan Raya (ELD) belum menerima laporan daripada Encik Tan berhubung tuduhannya, meskipun sudah diminta untuk berbuat demikian.
Encik Tan menjawab kepada ELD pada Rabu dengan berkata bahawa beliau tidak membuat aduan semasa GE kerana mahu menumpukan perhatian kepada kempen pilihan raya. Tambahnya lagi, beliau "tidak merancang untuk melakukannya sekarang", kata Encik Chan.
Encik Chan berkata bahawa ELD memandang serius semua tuduhan sedemikian, dan akan menyiasatnya secara menyeluruh dan tidak berat sebelah.
"Kita harus lakukannya supaya bertindak adil kepada semua pihak yang terlibat, melindungi kewibawaan proses pilihan raya dan terus menegakkan keyakinan dalam pilihan raya kita."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.