Chan Chun Sing ingatkan AP agar tidak kirim surat kepada mahkamah bagi pihak pengundi
Ketua dewan parlimen dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Chan Chun Sing mengingatkan anggota parlimen parti tersebut agar tidak menulis kepada mahkamah bagi pihak pengundi mereka.
Gambar fail Encik Chan Chun Sing. (Gambar: Lam Shushan)
SINGAPURA: Ketua dewan parlimen dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Chan Chun Sing mengingatkan anggota parlimen parti tersebut agar tidak menulis kepada mahkamah bagi pihak pengundi mereka.
Dalam satu memo dalaman parti, yang dikirim kepada pihak media, Encik Chan berkata bahawa pengasingan kuasa Eksekutif (Pemerintah), Perundangan (Parlimen) dan Kehakiman (Mahkamah) merupakan prinsip asas sistem politik Singapura yang termaktub dalam perlembagaan.
"Kepimpinan PAP selama ini mendukung pengasingan itu dengan ketat dan akan terus berbuat demikian. AP-AP PAP juga tidak seharusnya melakukan apa jua yang boleh membangkitkan salah faham bahawa mereka boleh mempengaruhi atau campur tangan dalam proses kehakiman," katanya.
Encik Chan, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, mengeluarkan memo itu selepas AP PAP SMC Sengkang West, Encik Lam Pin Min, mengirim surat kepada mahkamah bagi pihak pengundinya, Cik Tang Ling Lee.
Seorang hakim Mahkamah Tinggi kemudian berkongsi bahawa dalam membuat keputusannya, "agak membimbangkan" apabila pihak bersalah cuba membuat rayuan untuk tidak mengheboh-hebohkan kesalahannya menggunakan surat AP.
Pejabat Peguam Negara (AGC) mendedahkan kepada Mediacorp Rabu lalu (7 Feb) bahawa ia menerima sebanyak 400 surat daripada AP-AP yang dikirim bagi pihak pengundi pada tahun 2017.
Encik Chan berkata bahawa pada tahun-tahun kebelakangan ini, sudah menjadi kebiasaaan AP-AP PAP mengelak daripada mengirim surat bagi pihak pengundinya.
Apabila bertemu dengan para pengundi berhubung hal-hal mahkamah, AP-AP PAP boleh menulis surat kepada Kementerian Undang-Undang tentang isu-isu prosedur dan AGC mengenai isu-isu pendakwaan.
"Ini adalah amalan umum dan akan terus demikian," tegasnya.
Encik Chan juga berkata bahawa pihak mahkamah dalam kedudukan terbaik untuk menilai bukti-bukti yang diberi dan hujah-hujah sesebuah kes secara holistik dan saksama.
"Pihak mahkamah mempunyai prosedur yang jelas dan ketat demi mendukung kebebasan dan integriti proses kehakiman. Pengasingan kuasa tidak pernah disoal meskipun pihak mahkamah menerima surat daripada AP, secara langsung ataupun tidak langsung," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.