CFC Iain Nabiel bangga pasukannya berjaya rangkul Unit Kombat Terbaik SAF
SINGAPURA: Menjadi kuasa utama untuk menyusup masuk ke sesebuah tempat tanpa dikesan pihak musuh.
Ini bermakna pergerakan perlu lebih pantas, jauh dan lebih kuat daripada askar-askar yang lain.
Inilah antara kemahiran yang didalami Pejuang Komando seperti CFC Iain Nabiel Isnin, 20 tahun.
Beliau juga berbangga dapat melakukan demikian bagi Perkhidmatan Negara (NS) sepanjang 1.5 tahun lalu.
Dengan pengkhususan dalam bidang medik, beliau juga perlu sentiasa menyokong pasukannya pada setiap masa.
"Peranan saya sebagai seorang Pejuang Komando ialah untuk menjalankan misi-misi serbu. Selain itu sebagai seorang medik, saya juga merawat rakan-rakan saya yang tercedera," kongsi CFC Iain kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Saya rasa peranan ini penting untuk memastikan kecederaan yang rendah supaya kami dapat menghabiskan misi bersama-sama," tambahnya.
PASUKAN KOMANDO RANGKUL 'UNIT KOMBAT TERBAIK SAF'
Mengenang kembali perjalanannya sebagai seorang Pejuang Komando, CFC Iain berkongsi bahawa terdapat juga cabaran dan kesukaran yang dihadapinya semasa latihan.
Lantas beliau rasa amat bangga dan berbesar hati pasukannya Batalion Komando Pertama (1 Cdo Bn) menjulang gelaran sebagai 'Unit Kombat Terbaik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF)' buat kali ke-21 berturut-turut.
Ia juga kali ke-38 pasukan itu dinobatkan sebagai pemenang sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1969.
Dilatih untuk melakukan operasi dalam kawasan musuh, para Komando SAF dikenali dengan kemahiran tinggi mereka dalam kecekapan-kecekapan khusus seperti operasi udara, pengintipan dan misi-misi serbu.
"Saya berasa amat bangga kerana saya menjadi sebahagian daripada sejarah komando yang meluas. Meraih anugerah tersebut bukanlah sesuatu yang mudah bagi unit komando yang telah memenanginya selama 21 tahun. Saya teringat kembali semua kesusahan dan kesukaran yang saya hadapi dalam latihan, namun saya tidak pernah kesal walaupun ia sukar," ujar CFC Iain.
"Kejayaan unit komando dikaitkan dengan persahabatan yang amat kuat antara setiap askar. Di dalam hutan, kami hanya boleh mengharap rakan kami untuk membantu kami. Kami memahami satu sama lain serta sanggup berkorban untuk rakan sekeliling kami. Inilah nilai-nilai yang memastikan setiap tahun unit komando dapat memenangi anugerah unit kombat terbaik," tambah beliau.
SISTEM SOKONGAN KUKUH JADI PEMANGKIN SEMANGAT
Selain rakan-rakan sepasukan, CFC Iain juga bersyukur dengan sistem sokongan kukuh yang beliau punyai.
Ini menjadi pemangkin semangat untuk Pejuang Komando itu terus menjalankan tugasnya dengan baik.
"Saya ada beberapa sistem sokongan. Yang pertama ibu saya, yang selalu membelikan 'cemil-cemilan' buat saya supaya saya dapat makan dalam kem," jelas CFC Iain.
"Selain itu, rakan saya juga selalu menyokong saya semasa misi-misi serbu. Mereka menyokong saya apabila saya letih apabila kita di dalam hutan untuk misi serbuan," jelas CFC Iain.
Beliau amat terharu apabila rakan-rakannya menghulurkan bantuan untuk mengangkat senjata dan barangan sehingga mereka mencapai garisan penamat.
CFC Iain dan pasukannya akan menerima pingat dan anugerah daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen pada 1 Julai ini sempena Perbarisan Hari SAF di Institut Ketenteraan SAFTI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.