Certis arah pekerja yang cuti sakit kongsi lokasi jika mereka tidak di rumah
Firma keselamatan Singapura, Certis menyatakan pada Sabtu (28 Jun) bahawa ia tidak akan membuang pekerja hanya kerana mereka tidak berada di rumah apabila mengambil cuti sakit.
Ibu pejabat Certis di Paya Lebar Green. (Gambar: Facebook/Certis)
Ini selepas mesej WhatsApp mengenai perubahan pada dasar cuti sakit syarikat itu dikongsi secara online.
Mesej-mesej berkenaan, yang pertama kali dilaporkan oleh Mothership pada Jumaat (27 Jun), menyatakan surat amaran akan diberikan kepada para pekerja yang mengambil cuti sakit jika mereka tidak berada di rumah tanpa alasan yang sah.
Jika mereka tidak berada di rumah, mereka perlu berkongsi lokasi langsung atau membuat panggilan video kepada pengurus mereka "untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka", menurut satu kiriman mesej.
Para pekerja juga perlu mengemas kini alamat rumah mereka. Jika tidak, mereka juga akan diberi surat amaran.
"Harap maklum bahawa mereka yang dikesan tidak patuh peraturan boleh dikenakan tindakan disiplin, termasuk dibuang kerja," menurut salah satu mesej itu.
Dalam satu lagi mesej, para pegawai digalakkan supaya "berkongsi lokasi mereka" jika mereka tidak berada di rumah.
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Certis menyatakan: "Tindakan disiplin hanya akan dipertimbangkan dalam kes di mana cuti sakit terbukti disalahgunakan, selepas melalui proses yang adil dan teliti.
"Kami tidak membuang pekerja hanya kerana mereka tidak berada di rumah apabila mengambil cuti sakit."
Apabila para pekerja mengambil cuti sakit, pengurus mereka boleh bertanya khabar, terutama sekali bagi kakitangannya yang mengambil cuti sakit berpanjangan, menurut Certis, sambil menambah bahawa ini termasuk melakukan lawatan ke rumah kakitangan berkenaan sebagai tanda prihatin.
Menurut Certis, sungguhpun sebilangan besar pekerjanya mengambil cuti sakit secara bertanggungjawab, ia melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan sistem itu digunakan "sewajarnya dan dengan adil".
"Certis memastikan pegawai kami mencapai standard profesionalisme dan integriti yang tinggi," menurut syarikat itu.
"Kami mengambil pendirian tegas terhadap kakitangan yang melanggar peraturan syarikat secara sengaja dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan disiplin jika perlu, sedang kami berusaha memenuhi komitmen terhadap rakan kongsi, pelanggan dan masyarakat yang kami berusaha melindungi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.