Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Certis akan ambil lebih banyak pemohon kerja kurang upaya di bawah inisiatif baru dengan SPD

Cik J P Thanumadhya mengalami beberapa keretakan di bahagian tulang belakang, punggung dan buku lalinya setelah terjatuh dari tingkat tinggi pada Jun 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Aug 2020 09:14PM Dikemas Kini : 19 Aug 2020 09:22PM

SINGAPURA: Cik J P Thanumadhya mengalami beberapa keretakan di bahagian tulang belakang, punggung dan buku lalinya setelah terjatuh dari tingkat tinggi pada Jun 2018.

Thanumadhya menjalani rawatan selama setahun setengah sebelum doktornya memberi beliau lampu hijau untuk kembali bekerja. Bagaimanapun,beliau kemudian terpaksa berdepan dengan satu lagi cabaran.

"Saya sebenarnya cuba pergi temuduga (tetapi saya) ditolak banyak kali," menurut wanita berusia 27 tahun itu. "Sebagai contoh (mereka akan berkata) 'baiklah saya akan menghubungi anda nanti'. Namun apabila saya menelefon atau menghantar mesej (mereka akan memberitahu saya) 'maaf jawatan itu sudah diisi'."

Disebabkan kecederaannya, Cik Thanumadya tidak boleh berdiri terlalu lama, tetapi beliau berkata ia tidak menghalang keupayaannya untuk bekerja.

Beliau telah memohon kerja sebagai penyambut tamu dan beberapa lagi pekerjaan yang sekali sekala memerlukannya berjalan.

"Saya masih boleh (berjalan), cuma sukar kalau berdiri sahaja di satu-satu tempat. Selain daripada itu, saya boleh melakukan kerja-kerja biasa. Sebab itu saya rasa sedih apabila saya tidak boleh mendapat pekerjaan sebegitu," katanya.

Beliau ingin mencari kerja supaya dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada anggota keluarganya, lebih-lebih lagi kerana masih mempunyai adik.

Cik Thanumadhya berjaya akhirnya mendapat pekerjaan pada Julai sebagai operator di pusat panggilan Certis. Beliau bekerja syif empat hari seminggu dalam pasukan seramai 110 orang. Tugas mereka ialah menghubungi individu yang dikuarantin untuk menanyakan suhu badan masing-masing.

Beliau dirujuk kepada pekerjaan itu oleh SPD, sebuah badan kebajikan yang membantu golongan kurang upaya di Singapura.

Cik Thanumadhya adalah salah seorang daripada dua orang kurang upaya yang bekerja di Certis, di bawah kempen barunya "Breaking Barriers" yang dilancarkan pada Rabu (19 Ogos).

Tujuannya untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan latihan kepada golongan kurang upaya.

Certis, yang menggajikan 16,000 pekerja di Singapura, mempunyai lima pekerja kurang upaya yang bertugas dalam operasi keselamatan penerbangan dan pengurusan wang.

Di bawah inisiatif baru itu, Certis akan bekerjasama dengan SPD untuk mengambil orang kurang upaya manakala kakitangan
Certis akan menjalani latihan untuk membantu mereka lebih memahami keperluan golongan kurang upaya dan cara mendampingi mereka.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan