Cermin polis dipasang di lebih 200 blok HDB untuk cegah basikal dicuri
Cermin besar dipasang di sekitar 222 blok HDB di merata Singapura sebagai sebahagian langkah untuk menangani kes jenayah curi basikal.
(Gambar: Facebook/Lim Kopi Corner)
SINGAPURA: Cermin besar dipasang di sekitar 222 blok HDB di merata Singapura sebagai sebahagian langkah untuk menangani kes jenayah curi basikal.
Menyusuli satu daya usaha yang dimulakan tahun lalu, Pasukan Polis Singapura (SPF) memasang cermin kebanyakannya di tempat meletak basikal, menurut seorang jurucakap polis pada Rabu (9 Sep) dalam menjawab pertanyaan Mediacorp.
"Lokasi-lokasi ini adalah tempat terpilih di mana kecurian basikal kerap berlaku," menurut jurucakap itu.
"Pemasangan cermin akrilik secara amnya terbukti berkesan mencegah jenayah curi basikal."
Polis menyatakan di laman webnya bahawa basikal dan alat mobiliti peribadi adalah "sasaran biasa" bagi pencuri dan pada 2014, kes kecurian basikal adalah antara "kebimbangan jenayah utama" sejak beberapa tahun lalu.
Menurut perangkaan jenayah, jumlah kes basikal dicuri menjunam daripada 905 kes pada 2017 kepada 522 kes pada 2018 - satu kemerosotan sebanyak 42 peratus.
Dalam satu makluman nasihat di lamannya, polis mengingatkan orang ramai supaya menyimpan basikal di rumah jika tidak digunakan, atau menguncinya di struktur tetap dengan menggunakan mangga bermutu tinggi jika diletakkan di tempat awam.
Basikal seharusnya diletakkan di tempat yang ramai orang lalu-lalang, sebaiknya di mana terdapat kamera CCTV, tambah pihak berkuasa, dengan komponen basikal yang boleh dicabut, sepatutnya dikunci.
"Letakkan tanda kekal pada basikal seperti mengukir pada bingkai basikal," tambah SPF.
Jurucakap polis pada Rabu berkata bahawa cermin yang dipasang bertindak sebagai "pengawas yang jelas".
"Cermin-cermin dipasang secara strategik untuk meningkatkan kemungkinan jenayah dapat dihuraikan dengan liputan yang meluas," jelas jurucakap itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.