Skip to main content

Singapura

Cerita palsu keguguran: Pengasas Wake Up Singapore, penyumbang rencana bakal mengaku bersalah fitnah KKH

Anggaran Waktu Membaca:
Cerita palsu keguguran: Pengasas Wake Up Singapore, penyumbang rencana bakal mengaku bersalah fitnah KKH

Pengasas dan pentadbir Wake Up Singapore Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar (kiri) dan peguamnya Gino Hardial Singh di Mahkamah Negara pada 24 Apr 2024. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

SINGAPURA: Seorang wanita yang dituduh memfitnah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan menghantar cerita rekaan mengenai dakwaan keguguran di hospital tersebut dijangka mengaku bersalah, sekain pengasas platform Wake Up Singapore, yang membuat liputan mengenai kisah tersebut.

Ma Su Nandar Htwe, seorang penduduk tetap Singapura berusia 28 tahun dari Myanmar, akan mengaku bersalah pada 26 Ogos.

Dia dijadual melakukan demikian dengan pengasas dan pentadbir laman berita alternatif Wake Up Singapore, Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, yang merupakan seorang warga Singapura berusia 27 tahun.

Kedua-dua mereka berdepan dengan satu pertuduhan setiap seorang atas tuduhan memfitnah hospital itu pada 21 Mac 2022, dengan mengirimkan mesej ke akaun Instagram Wake Up Singapore.

Dalam mesej tersebut, dia memperincikan dakwaan palsu tentang bagaimana dia mengalami keguguran di KKH pada Februari 2022, dengan niat Wake Up Singapore akan menerbitkan cerita itu, kerana tahu ia akan menjejas reputasi KKH.

Ariffin dituduh memfitnah hospital tersebut dengan menerbitkan rencana bertajuk "The baby is probably dead - Woman shared a harrowing account of her miscarriage at KKH A&E" (Janinnya mungkin sudah mati - Wanita kongsi pengalaman pahit keguguran di A&E KKH).

Ariffin, yang diwakili peguam Gino Hardial Singh, diberikan tarikh untuk mengaku bersalah pada Rabu (3 Jul) bagi perbicaraan selanjutnya.

Ma Su Nandar Htwe, yang diwakili Cik Jacintha Gopal dan Encik Mohamed Hashim H Sirajudeen, mengatakan dia akan mengaku bersalah sehari sebelum itu.

Hospital tersebut membuat aduan polis dua hari kemudian selepas rencana itu diterbitkan.

Selepas Ma Su Nandar Htwe mengaku berbohong menyusuli pemeriksaan rapi terhadap kisah palsu itu, Wake Up Singapore memohon maaf secara terbuka kerana menerbitkan dakwaannya, dengan mengatakan ia menyedari bahawa log panggilan, invois dan surat-menyurat pesakit, "semuanya mungkin sudah disunting".

Ia juga dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Mac 2022.

Pada ketika itu, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan KKH sudah mengenal pasti pesakit tersebut dan mendapati dia tidak mengalami sebarang keguguran.

Hukuman bagi kesalahan memfitnah boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita