Ceramah Youth aLIVE kongsi petua tangani ketagihan, cabaran media sosial
Campur tangan awal mencegah ketagihan daripada berlanjutan sepanjang hayat.

Ustaz Muhammad Abu Sufian, seorang pekerja sosial berpengalaman, berkongsi punca ketagihan, langkah-langkah pencegahan dan proses pemulihan. (Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Campur tangan awal mencegah ketagihan daripada berlanjutan sepanjang hayat.
Itulah antara ilmu penting yang diraih 800 belia berusia antara 17 hingga 21 tahun, semasa Wacana Youth aLIVE anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Ahad (29 Sep).
Acara bertajuk 'YOLO: Islam on Influence, Indulgence and Identity' diadakan di Pusat Konvensyen Suntec, bertujuan menangani keprihatinan mengenai ketagihan dalam kalangan belia Muslim dan cara-cara mengatasinya.
MEDIA SOSIAL & KETAGIHAN
Pekerja sosial klinikal Ustaz Muhammad Abu Sufian berkata penggunaan media sosial yang keterlaluan semakin disifatkan sebagai sejenis kelaku yang membawa ketagihan.
Beliau yang juga diiktiraf di bawah Skim Pentauliahan Asatizah (ARS) dan berdaftar dengan Persatuan Pekerja-Pekerja Sosial Singapura, juga menambah kajian menunjukkan Singapura memiliki penembusan tinggi internet dengan berjuta-juta rakyat Singapura mempunyai laman media sosial.
Ini juga satu masalah khususnya bagi belia yang mudah terdedah kepada dunia maya yang sukar terkawal.
DAPAT JEJAS KEROHANIAN
Lantaran itu, Ustaz Abu Sufian yang juga Pengamal Sistemik terlatih dari King's College London, menggesa belia supaya sedar bahawa media sosial memenuhi ruang dan masa bagi perkara lain jika ia menguasai kehidupan seseorang.
Beliau juga menekankan peri pentingnya umat Islam menyedari bahawa ketagihan boleh menjejas kerohanian mereka.
Ustaz Abu Sufian, yang pernah bekerja bersama Khidmat Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja di London, menambah tingkah laku sedemikian boleh menyebabkan belia menjauhi masyarakat dan tidak menjalankan kewajipan dan tanggungjawab mereka sepenuhnya.
GAYA HIDUP, PENGARUH ONLINE DAPAT BERI KESAN BURUK
Selain Ustaz Muhammad Abu Sufian, para penceramah undangan terdiri daripada jurulatih Youth aLIVE Ustazah Lina Sakina dan Ketua Eksekutif Majulah Community Shafiee Razali.
Jurulatih Youth aLIVE di Masjid Al-Istighfar dan Masjid Darul Makmur Ustazah Siti Ruquiyah Effendi pula bertindak sebagai pembawa acara dan moderator panel.

Para penceramah menyentuh tentang stigma ketagihan dan bagaimana gaya hidup berbeza dan pengaruh online mendorong belia mencuba tabiat-tabiat tertentu dan menjadi tertarik kepadanya, sekali gus memberi kesan negatif terhadap kehidupan mereka.
Isu penting lain yang dibincangkan adalah bagaimana campur tangan awal penting untuk kembali pulih, terutama sekali dalam fenomena masa kini dengan penggunaan media sosial yang keterlaluan.
Sesi tiga jam itu turut padat dengan petua-petua dan rutin yang dapat diamalkan bagi mengatasi cabaran-cabaran media sosial.
Selain mendorong para peserta mendalami kerohanian, aspek kesejahteraan fizikal dan mental serta tabiat sosial positif turut diketengahkan dalam sesi tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.