Ceramah Arif Budiman: Bahasa Melayu ada peranan penting dalam penamaan tempat

Ceramah Arif Budiman: Bahasa Melayu ada peranan penting dalam penamaan tempat.
SINGAPURA: Stamford Canal yang kita tahu sekarang dikenali sebagai Sungai Bras Basah satu ketika dahulu.
Fort Canning pula lebih dikenali sebagai Bukit Larangan.
Malah, banyak lagi nama bahagian kota Singapura menggunakan istilah kampung ataupun menggunakan nama Melayu.
Ini juga digunakan bukan sahaja oleh penutur Melayu tetapi pelbagai lapisan masyarakat majmuk di Singapura.
Ia sekaligus menunjukkan betapa luasnya peranan Bahasa Melayu pada ketika itu.
Itu merupakan antara inti pati Sesi Ceramah Arif Budiman oleh Pensyarah Kanan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Imran Tajudeen pada Jumaat (23 Sep).
BAHASA MELAYU ADA PERANAN PENTING SEBAGAI BAHASA PERANTARA DALAM SEJARAH SINGAPURA
Menurut Dr Imran, Bahasa Melayu mempunyai peranan penting sebagai bahasa perantara dalam sejarah Singapura.
Ia termasuk penamaan tempat yang mengetengahkan jati diri sesebuah lokasi.
Namun, dengan penamaan semula dan penamaan baru yang berlaku akibat penjajahan serta dasar budaya negara bangsa (nation state), ia memberi kesan dan mengubah peranannya di Singapura.
"Nama-nama tempat di seluruh pelusuk pulau Singapura, nama anak sungai, nama bukit dan sebagainya, banyak yang sama ada sudah terhapus atau tertimbus. Misalnya, beratus-ratus nama (tempat) dan nama jalan yang sudah hilang," kongsi Dr Imran.
Hakikatnya, ramai juga yang terlupa tentang sejarah penting itu dan ia boleh menyebabkan peranan Melayu semakin berkurangan.
BAHASA MELAYU HARUS TURUT HADIR DALAM SISTEM PENAMAAN DI SINGAPURA
Lantaran itu, antara saranan yang dikongsi oleh Dr Imran untuk memastikan Bahasa Melayu terus kekal relevan di Singapura termasuk Bahasa Melayu yang perlu turut hadir "dalam semua sistem penamaan" di sini.
"Misalnya, kalau kita lihat di stesen MRT, Bahasa Melayu kerap kali tidak ada. Misalnya di City Hall, kalau dalam Bahasa Tamil dan Mandarin istilah City Hall itu diterjemah tetapi Bahasa Melayu tidak ada. Stesen itu tidak dipanggil dewan bandaraya. Banyak lagi contoh.
"Satu sahaja yang ada nama Melayu yang diterjemah sekarang iaitu Kebun Bunga untuk 'Botanic Gardens Station'. Di stesen lain tidak ada. Misalnya, Tampines East kenapa tidak ditulis Tampines Timur?" tambah beliau.
ISTILAH KAMPUNG BUKAN SAHAJA DI LUAR BANDAR TETAPI DALAM KOTA JUGA
Selain itu, Dr Imran juga menyarankan agar pemahaman masyarakat terhadap istilah kampung itu lebih lengkap.
Ini bermakna bukan sahaja menggunakan istilah kampung itu untuk "di luar bandar atau perdesaan" sahaja, tetapi sesuatu yang "di dalam kota" juga.
"Orang cuma kenal Kampung Gelam. Tetapi sebenarnya, setiap kawasan di kota (Singapura) itu mempunyai nama kampung dan penggunaannya juga ada dan wujud dalam kalangan bukan penutur Melayu," dedah Dr Imran.
"Misalnya, orang Inggeris, orang Serani, orang berbahasa Kantonis, Hokkien dan Tamil juga menggunakan istilah ini dan diterjemah dalam Bahasa ataupun ditransliterasi dalam Bahasa mereka sendiri," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, walaupun Bahasa Melayu itu masih kekal sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukannya kini menjadi "bahasa ibunda" dalam dasar dwibahasa yang menobatkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menurut Dr Imran.
Ini sekali lagi mengubah peranan Bahasa Melayu di Singapura.
"Peranan Bahasa Melayu dahulu tidak terhad kepada orang Melayu sahaja. Jadi kalau kita ingin membicarakan kerelevanan Bahasa Melayu, ia terbuka dan penggunaannya luas," kata Dr Imran.
"Tetapi sekarang oleh kerana ia lebih dianggap sebagai bahasa ibunda, saya rasa penggunaannya agak terhad sekarang. Kalau mahu membicarakan tentang relevan, kenapa tidak kita kembali kepada gagasan Bahasa Kebangsaan?" tambah beliau.
Sesi ceramah Arif Budiman diadakan secara hibrid tahun ini dan disertai sekitar 160 orang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.