CEO syarikat teknologi didakwa kes pengubahan wang haram; ikat jamin dinaikkan kepada S$1.25 juta
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi Aperia Group didakwa pada Isnin (6 Jul) atas tuduhan mengubah wang haram berjumlah S$38 juta bagi pembelian sebuah banglo, selain memperoleh hasil jenayah bernilai S$3.2 juta.
Alan Wei Zhaolun tiba di Mahkamah Negara pada 6 Julai 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Alan Wei Zhaolun, warga Singapura berusia 50 tahun, memaklumkan bahawa dia mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan yang dihadapinya, dengan peguamnya menyifatkan tuduhan-tuduhan tersebut sebagai "tidak berasas".
Tuduhan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan yang dihadapinya kini sebanyak 11, kebanyakannya berkaitan konspirasi untuk melakukan penipuan melibatkan pembelian server komputer.
Server komputer tersebut dikatakan mengandungi cip Nvidia yang dipindahkan, sekali gus melanggar kawalan eksport Amerika Syarikat.
Kes itu dibawa ke mahkamah menyusuli siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung sama ada syarikat pemula China, DeepSeek, telah mengelak sekatan Amerika Syarikat terhadap cip Nvidia berteknologi tinggi dengan membelinya daripada pihak ketiga di beberapa negara, termasuk Singapura.
Turut dituduh bersubahat dalam penipuan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Aperia Group, Jenny Lim, 51 tahun, dan Ketua Jualan kumpulan tersebut, Aaron Woon Guo Jie, 41 tahun. Kedua-duanya juga merupakan warga Singapura.
Ketiga-tiga mereka dituduh berkomplot melakukan penipuan menerusi borang pengesahan penggunaan akhir/pengguna akhir yang dihantar kepada wakil beberapa syarikat teknologi, termasuk cawangan Singapura Dell Global B V, Super Micro Computer Inc. Taiwan dan Asus Global, dengan menyatakan bahawa pengguna akhir server komputer yang dibeli daripada syarikat-syarikat tersebut ialah syarikat-syarikat di bawah Aperia Group.
Tiga syarikat di bawah Aperia Group iaitu A-Speed Infotech, Aperia International dan Aperia Cloud Services (II) turut didakwa atas kesalahan penipuan berkaitan.
Menurut tuduhan baharu yang dikemukakan pada Isnin, Wei membeli sebuah banglo di 12 Chee Hoon Avenue antara Julai dengan Oktober 2024 pada harga S$55 juta. Daripada jumlah itu, kira-kira S$38 juta dikatakan merupakan hasil daripada kegiatan jenayah.
Polis minggu lalu memaklumkan bahawa pihaknya telah mengeluarkan perintah larangan pelupusan terhadap banglo mewah (GCB) berkenaan, yang bermaksud ia tidak boleh dijual atau dipindah milik selagi perintah itu berkuat kuasa.
Menurut tuduhan baharu itu lagi, Wei memperoleh wang berjumlah S$5.8 juta dalam akaun banknya dalam dua tempoh, iaitu antara 25 Julai dengan 7 Ogos 2024, serta pada 3 Oktober 2024.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira S$3.2 juta dipercayai merupakan hasil daripada kegiatan jenayah.
Wei diwakili para peguam daripada WongPartnership, termasuk Melanie Ho, Tang Shangwei, Rachel Ong dan Neo Yi Ling.
Cik Ho memberitahu mahkamah pada Isnin bahawa anak guamnya menafikan sebarang salah laku dan tuduhan yang dikenakan adalah "tidak berasas".
Dua daripada tuduhan yang dihadapi Wei sebelum ini turut dipinda bagi mencerminkan bahawa konspirasi yang dikatakan berlaku itu bukan sahaja melibatkan Wei dan Woon, malah turut melibatkan Lim.
Cik Ho berkata Wei dan tiga syarikat Aperia itu telah memberikan kerjasama penuh, dengan syarikat-syarikat tersebut "terus beroperasi sebaik mungkin meskipun berdepan tempoh yang mencabar".
Pihak pendakwa memohon supaya jumlah ikat jamin Wei dinaikkan daripada S$800,000 kepada S$1.25 juta, namun pihak pembela membantah dengan sebab pertuduhan baharu itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan pihak pendakwa sebelum ini telah memaklumkan hasrat untuk mengemukakan pertuduhan tersebut.
Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwa dan menetapkan ikat jamin baharu sebanyak S$1.25 juta.
Kes membabitkan tiga eksekutif Aperia Group dan tiga syarikat berkenaan ditangguhkan bagi sidang praperbicaraan.
Jika disabit kesalahan mengubah hasil daripada kegiatan jenayah, seseorang boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan bersubahat melakukan penipuan menerusi representasi palsu, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda.
Syarikat-syarikat terbabit pula boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.