Skip to main content

Singapura

CEO SingPost Shahrin Abdol Salam letak jawatan kurang setahun galas peranan

Anggaran Waktu Membaca:
CEO SingPost Shahrin Abdol Salam letak jawatan kurang setahun galas peranan

Encik Shahrin Abdol Salam meletak jawatan sebagai CEO SingPost bagi perniagaan Singapura, Cik Neo Su Yin kembali menyandang jawatan itu. (Gambar: SingPost)

Diterbitkan : 03 Feb 2025 04:16PM Dikemas Kini : 03 Feb 2025 04:19PM
SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingPost bagi perniagaan Singapura, Shahrin Abdol Salam, telah meletak jawatan selepas kurang setahun menggalas peranan tersebut.

SingPost mengesahkan perkara itu pada Isnin (3 Feb) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, sambil berkata Encik Shahrin membuat keputusan itu "untuk buru peluang di luar syarikat".

Cik Neo Su Yin, yang merupakan CEO SingPost sebelum pelantikan Encik Shahrin, akan kembali menyandang jawatan tersebut.

Beliau kini merupakan ketua pegawai operasi kumpulan di syarikat itu, setelah dilantik ke jawatan baharu yang diwujudkan bulan lalu.

"Garis masa peralihan sedang diusahakan dengan Neo Su Yin, ketua pegawai operasi kumpulan, yang akan mengambil tanggungjawab tambahan sebagai CEO Singapura selepas pemergian Shahrin," kata SingPost.

"Su Yin biasa dengan Unit Perniagaan Singapura kerana telah mengendalikan perniagaan tersebut dari November 2021 hingga Mei 2024."

Peletakan jawatan Encik Shahrin itu berlaku tidak lama selepas tiga eksekutif tertinggi penyedia khidmat pos negara itu dipecat, dalam langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Beliau dilantik sebagai ketua perniagaan Singapura SingPost pada Mei 2024. Sebelum itu, Encik Shahrin adalah Pengarah Urusan bagi Laluan Thomson-East Coast (TEL) SMRTdan naib presiden kanan hubungan strategik di SMRT Corporation.

"Kami ucapkan terima kasih kepada Shahrin atas sumbangannya kepada SingPost sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dan mengucapkan yang terbaik untuk masa depannya," kata SingPost pada Isnin.

Encik Shahrin aktif di GRC West Coast.

Beliau adalah wakil daerah dalam Biro Ehwal Melayu Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang ditubuhkan pada 1954 untuk mewakili pandangan masyarakat Melayu-Islam kepada kepimpinan parti.

Beliau juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Ayer Rajah.

GRC West Coast mempunyai lima anggota.

Ia diketuai oleh bekas Menteri Pengangkutan S Iswaran sehingga beliau meletak jawatan daripada PAP pada Januari 2024 di tengah-tengah tuduhan jenayah rasuah dan memperoleh barang berharga sebagai penjawat awam. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada Oktober lalu.

Anggota Parlimen GRC West Coast yang lain ialah Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, Foo Mee Har, Ang Wei Neng dan Rachel Ong.

Singapura mesti mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya November, dengan penganalisis politik menjangkakan pilihan raya akan diadakan seawal April.

Dalam Pilihan Raya Umum 2020, PAP menang tipis di West Coast dengan 51.7 peratus undi menentang pasukan dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang terdiri daripada Tan Cheng Bock, Leong Mun Wai, Hazel Poa, Nadarajah Loganathan dan Jeffrey Khoo.

Encik Leong dan Cik Poa kemudiannya menjadi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi - jawatan yang ditawarkan kepada calon yang kalah tetapi merupakan salah seorang pesaing dengan prestasi yang terbaik. Ia sebahagian daripada skim untuk memastikan bilangan minimum anggota pembangkang dalam parlimen.
 
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita