CEO SBS Transit mohon maaf atas gangguan khidmat NEL dan LRT Sengkang-Punggol
Mesej di skrin stesen MRT Sengkang memaklumkan para penumpang bahawa khidmat LRT terhenti akibat gagguan elektrik pada 12 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Abigail Ng)
Sebanyak 11 stesen antara Farrer Park dan Punggol terjejas akibat masalah bekalan elektrik tersebut, yang turut menjejas khidmat LRT Sengkang-Punggol.
Khidmat NEL disambung sepenuhnya pada pukul 2.10 petang, menurut pengendali SBS Transit dalam kemas kini di Facebook, manakala khidmat LRT Sengkang disambung semula sekitar pukul 3.35 petang.
Dalam kemas kini pada pukul 4.15 petang, SBS Transit menyatakan bahawa khidmat LRT Punggol sedang disambung semula secara berperingkat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBS Transit Group, Jeffrey Sim memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang berlaku.
“Kami memandang serius perkara ini dan sedang menyiasat punca kejadian,” katanya dalam catatannya di Facebook sekitar pukul 3.00 petang.
Gangguan itu bermula pada lewat pagi, dengan SBS Transit memuat naik pemberitahuan pertama di media sosial sekitar pukul 11.20 pagi.
“Kami sedang bekerja keras untuk memulihkan khidmat, yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga jam,” kata SBS Transit di Facebook pada pukul 12.25 tengah hari.
Khidmat bas biasa dan bas ulang-alik percuma juga disediakan di perhentian-perhentian bas yang ditetapkan antara stesen Dhoby Ghaut dan Punggol Coast.
“Khidmat percuma juga disediakan dari pusat pertukaran bas di Serangoon, Hougang, Sengkang, Buangkok dan Woodleigh,” tambahnya.
Pada pukul 12.50 tengah hari Selasa, SBS Transit memaklumkan bahawa khidmat sudah disambung semula antara stesen HarbourFront dan Buangkok.
Ketika Mediacorp berada di stesen Boon Keng sekitar pukul 11.20 pagi, penumpang dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa tiada MRT yang beroperasi.
Tanda-tanda yang dipasang juga menyatakan bahawa tiada khidmat disediakan antara stesen Boon Keng dan Punggol Coast.
Pengawal keselamatan menghalang orang ramai daripada memasuki stesen. Namun tiada pengumuman dibuat dan penumpang masih menunggu di platform.
Kakitangan juga memaklumkan bahawa khidmat bas ulang-alik percuma turut disediakan.
Apabila Mediacorp melihat sebuah bas ulang-alik di Bendemeer Road berhampiran stesen MRT Boon Keng pada pukul 12.03 tengah hari, hanya tiga hingga empat penumpang berjaya menaiki bas kerana kenderaan itu hampir penuh.
Di stesen MRT Serangoon, kakitangan SBS Transit memaklumkan penumpang bahawa terdapat masalah bekalan elektrik dan pihaknya mengarahkan mereka dari NEL ke Laluan Circle menuju ke stesen MRT HarbourFront.
Penumpang juga diarahkan untuk menaiki khidmat bas 147 di salah satu laluan masuk stesen MRT Serangoon.
Sedang orang ramai berpusu-pusu ke arah khidmat bas sekitar pukul 11.20 pagi, penumpang mendapatinya sukar untuk menaiki bas.
Kejadian pada Selasa adalah insiden terkini dalam siri gangguan MRT yang baru-baru ini berlaku dan disebut sebagai "mengecewakan" oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.
Beliau memberi komen itu selepas khidmat MRT di Laluan Timur-Barat alami gangguan selama lima jam pada 6 Ogos, menyebabkan kekecewaan dalam kalangan penumpang semasa waktu sibuk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.