Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CEO Pergas Ustaz Dr. Mohamed Qusairy Thaha lepaskan jawatan 30 Jun

Anggaran Waktu Membaca:
CEO Pergas Ustaz Dr. Mohamed Qusairy Thaha lepaskan jawatan 30 Jun

Ustaz Dr. Mohamed Qusairy Thaha. (Gambar: Pergas)

SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) Ustaz Dr. Mohamed Qusairy Thaha sudah melepaskan jawatannya pada 30 Jun 2022 selepas menerajui tampuk kepimpinan persatuan itu selama lebih 1.5 tahun.

Demikian menurut kenyataan media Pergas yang dikeluarkan pada Rabu (6 Jul).

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Ustaz Dr. Mohamed Qusairy melepaskan jawatan itu untuk merebut peluang kerjaya di salah sebuah masjid di sini.

Pergas juga memberitahu pihak kami bahawa aturan sementara bagi peranan CEO persatuan itu akan diuruskan oleh exco.

"Kami sudah ada perancangan bagi pengganti (jawatan tersebut). Kami akan memaklumkannya kepada pihak media siapa orangnya dan bila beliau akan mengambil alih sebaik sahaja maklumat itu boleh disampaikan kepada umum," tambah Pergas.

Ustaz Dr. Mohamed Qusairy akan terus berkhidmat di Pergas sebagai sebahagian daripada asatizah pakar, khususnya dalam pengajian Quran, menurut persatuan itu.

Di bawah peranan tersebut, beliau akan terus menjadi anggota aktif Pergas, menyumbang kepada pandangan yang rencam, inovasi dan idea-idea baru yang diperlukan untuk memberikan khidmat lebih baik kepada masyarakat Islam setempat.

Sepanjang penggal khidmatnya sebagai CEO, Ustaz Dr. Mohamed Qusairy memainkan peranan penting menerajui usaha Pergas ke arah pelaksanaan program strategik empat tahun (2021-2024).

Sumbangan Ustaz Dr. Mohamed Qusairy termasuk mempertingkat penulisan akademik para asatizah, memperluas Biasiswa Possiswazah Pergas serta pelibatannya sebagai anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

"Sebagai seorang individu yang mendukung pembelajaran sepanjang hayat, Pergas yakin beliau akan terus membawa nilai-nilai tambah kepada pembangunan dan kemajuan para asatizah dalam pelbagai kapasiti baik di dalam mahupun di luar Pergas," menurut Pergas dalam kenyataan medianya, sambil menzahirkan penghargaan mendalam kepada Ustaz Dr. Mohamed Qusairy atas sumbangan, dedikasi dan komitmennya kepada persatuan itu serta masyarakat Islam secara amnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan