Skip to main content

Singapura

CEO MENDAKI, Zuraidah Abdullah dilantik Duta SG ke Oman

Anggaran Waktu Membaca:
CEO MENDAKI, Zuraidah Abdullah dilantik Duta SG ke Oman

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, Zuraidah Abdullah dilantik sebagai Duta Singapura (bukan berpangkalan) ke Oman. (Gambar: Kementerian Ehwal Luar Singapura)

SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, Zuraidah Abdullah menerima pelantikan sebagai Duta Singapura (bukan berpangkalan) ke Oman.

Cik Zuraidah pernah menyertai Pasukan Polis Singapura pada tahun 1986 dan memegang jawatan dalam penyiasatan, operasi dan latihan sehingga mencapai pangkat Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis.

Beliau kemudian berkhidmat di Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) pada tahun 2015 sebagai Komander di bawah bidang Komander 'Domain' Udara.

Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 34 tahun sebelum bersara pada tahun 2020, Cik Zuraidah telah menerima pelbagai anugerah termasuk Pingat Pentadbiran Awam (Perak) pada tahun 2011 dan Pingat Bakti Masyarakat pada tahun 2019.

Cik Zuraidah juga menyumbang dalam pelbagai peranan lain bagi pembangunan masyarakat, pendidikan, kesihatan, warisan, keselamatan dan pengangkutan.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Jaksa Pendamai pada tahun 2020.

Cik Zuraidah merupakan seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Awam) dari Universiti Nasional Singapura.

Encik Wong Kai Jiun dilantik sebagai Duta Singapura ke Republik Korea dan ke Mongolia. (Gambar: Kementerian Ehwal Luar Singapura)
PELANTIKAN DUTA SG KE KOREA & MONGOLIA

Dalam kenyataan media oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA), ia juga mengumumkan pelantikan Encik Wong Kai Jiun sebagai Duta Singapura ke Republik Korea dan ke Mongolia.

Encik Wong sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Direktorat Timur Laut Asia di MFA dari tahun 2019 hingga 2024.

Tugasan luar negara Encik Wong termasuk berkhidmat di Pejabat Perdagangan Singapura di Taipei sebagai Penolong Wakil Perdagangan Kanan dari tahun 2009 hingga 2012 dan di Kedutaan Singapura di Bangkok sebagai Timbalan Ketua Misi dan Kaunselor dari 2016 hingga 2017.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Misi dan Menteri-Kaunselor sehingga 2019.

Pada tahun 2016, Encik Wong telah dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa).

Pada tahun 2023, beliau telah dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (COVID-19).

Encik Wong merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sarjana Kejuruteraan (Kepujian) dari Universiti Cambridge.

Beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana dalam Dasar Awam Antarabangsa (Kepujian) dari Universiti Johns Hopkins.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita