Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CEO KS Energy didakwa dengan 112 tuduhan manipulasi pasaran

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengerusi KS Energy Limited didakwa pada Rabu (5 Ogos) dengan lebih 100 tuduhan memanipulasi pasaran, dengan syarikat itu menegaskan semasa membuat pemfailan di Bursa Saham Singapura (SGX) bahawa perniagaan dan operasinya kekal tidak terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
CEO KS Energy didakwa dengan 112 tuduhan manipulasi pasaran

Kris Wiluan. (Gambar: KS Energy Limited)

Diterbitkan : 05 Aug 2020 10:40PM Dikemas Kini : 05 Aug 2020 10:43PM

SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengerusi KS Energy Limited didakwa pada Rabu (5 Ogos) dengan lebih 100 tuduhan memanipulasi pasaran, dengan syarikat itu menegaskan semasa membuat pemfailan di Bursa Saham Singapura (SGX) bahawa perniagaan dan operasinya kekal tidak terjejas.

Kris Taenar Wiluan, seorang warga Indonesia berusia 71 tahun dan penduduk tetap Singapura, didakwa dengan 112 tuduhan di bawah Seksyen 197 bagi Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA), yang menangani perdagangan palsu dan urus niaga pasaran yang dimanipulasikan, menurut pihak polis dalam kenyataan medianya pada Rabu.

Menurut kertas pertuduhan, Wiluan terlibat dalam kegiatan "mencipta gambaran yang mengelirukan berkenaan harga sekuriti KS Energy".

Menurut kertas pertuduhan itu juga, Wiluan dipercayai mengarahkan Ho Chee Yen, seorang pengurus wanita berusia 56 tahun di pejabatnya, supaya menyuruh wakil dagang di CIMB Securities (Singapore) yang menguruskan akaun Pacific One Energy, sebuah syarikat yang dimiliki dan diselianya supaya menggunakan akaun syarikat tersebut untuk membeli saham KS Energy.

Ini dilakukan untuk "menaikkan" harga saham KS Energy sepanjang sesi dagang selama 112 hari antara 19 Dis 2014 hingga 13 Sep 2016.

Ho, seorang rakyat Singapura, didakwa dengan 92 tuduhan melanggar SFA. Dia dituduh "dengan sengaja membantu" Wiluan untuk memanipulasi pasaran dengan menyampaikan arahannya kepada para wakil dagang yang relevan, menurut kenyataan itu.

Sekiranya didapati bersalah, Wiluan dan Ho menghadapi hukuman penjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$250,000, atau kedua-duanya, bagi setiap tuduhan.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan