Skip to main content

Singapura

CEO klinik dipenjara 48 minggu, denda kerana bekalkan ubat batuk dan pil tidur haram

Anggaran Waktu Membaca:
CEO klinik dipenjara 48 minggu, denda kerana bekalkan ubat batuk dan pil tidur haram

Ubat batuk mengandungi kodein. (Gambar fail: HSA)

Diterbitkan : 04 Feb 2022 09:59PM

SINGAPURA: Selama lebih 17 bulan, ketua pegawai eksekutif (CEO) dua klinik tempatan menempah ubat batuk dan bahan lain yang dijualnya kepada penagih dengan meraih untung bersih hampir S$84,000.

Perbuatan Chan Weng Wah, 44 tahun, itu terbongkar apabila pembekalnya menyedari jumlah tempahan yang kerap dan luar biasa banyaknya bagi ubat batuk kodein dan pil tidur yang diketahui boleh disalahgunakan. Pembekal tersebut segera bertindak dengan melaporkannya kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Chan dijatuhi hukuman penjara 48 minggu dan didenda S$20,000 pada Jumaat (4 Feb). Dia mengaku bersalah atas 19 tuduhan membekalkan produk kesihatan secara borong tanpa lesen pemborong yang sah, dengan 38 lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu Chan ialah CEO klinik perubatan Healthlink Medical dan Healthgroup Medical, yang bertanggungjawab menguruskan perakaunan, menempah ubat-ubatan dan kit ujian serta memeriksa inventori.

Healthlink Medical menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada pekerja hijrahan, pembantu rumah, pekerja binaan selain khidmat perundingan pesakit oleh seorang doktor am (GP).

Healthgroup Medical pula menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan berkaitan dengan kit ujian penanda penyakit barah dan kit ujian COVID-19.

Sekitar April 2018, seorang doktor di Healthlink Medical meninggalkan syarikat itu. Chan mengambil alih akaun klinik tersebut dengan syarikat dan pembekal farmaseutikal yang berlesen, Pan-Malayan Pharmaceuticals. Dia memperkenalkan dirinya sebagai "Dr Lawrence Chan Weng Wah".

Apabila ejen di Pan-Malayan menanyakan sama ada dia seorang doktor yang berkelayakan, Chan berkata tidak, tetapi diberi kuasa seperti disenaraikan dalam lesen klinik Kementerian Kesihatan (MOH).

Pada Julai 2018, Chan meminjam wang berjumlah S$15,000 daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Encik Ho, kerana menghadapi masalah kewangan. Sebagai bayaran, dia harus membuat pesanan dari Pan-Malayan kononnya di bawah dua kliniknya bagi produk ubat batuk kodein dan pil tidur.

Encik Ho membayar Chan S$400 hingga S$500 bagi setiap botol yang mengandungi 3.8 liter ubat batuk kodein, termasuk 10,000 pil tidur secara percuma.

Mahkamah diberitahu bahawa Chan tahu Encik Ho akan membekalkan ubat itu kepada penagih di Yishun.

Antara Julai 2018 hingga Disember 2019, Chan membekalkan 214 botol ubat batuk yang berbeza berjumlah 813 liter dan 4,100 pil tidur kepada Encik Ho, kebanyakannya melalui pintu belakang Healthlink Medical.

Pada 23 Disember 2019, Pan-Malayan menghantar maklumat kepada cawangan penguatkuasaan HSA bahawa Healthlink Medical dan Healthgroup Medical kerap kali membuat pesanan bagi ubat batuk kodein dan pil tidur dalam jumlah luar biasa banyaknya, yang diketahui ada "potensi tinggi disalahgunakan".

Dua klinik tersebut disyaki membekalkan produk kesihatan ke pasaran gelap.

HSA dan MOH menjalankan empat pemeriksaan bersama di kedua-dua klinik di Veerasamy Road antara Julai 2020 dengan September 2020.

Chan didapati membekalkan ubat itu kepada Encik Ho sebanyak 39 kali walaupun tahu ia menyalahi undang-undang.

Pihak pendakwa meminta Chan dihukum penjara 52 hingga 68 minggu dan didenda S$20,000, dengan mengatakan Chan melakukan kesalahan secara terus-menerus.

Hakim mendapati Chan "sengaja menyalahgunakan kuasanya untuk menempah produk perubatan bagi tujuan yang salah, walaupun dia tidak mempunyai lesen".

Bekalan pil tidurnya dalam bentuk dormikum amat serius, kata Hakim Daerah Marvin Bay, kerana midazolam adalah ubat preskripsi dan dikawal dengan lebih ketat.

Chan sendiri pernah disabit kesalahan kerana mengambil dadah pada 2004 dan sedar bahawa tindakannya membekalkan ubat-ubat tersebut akan membuat pengguna dadah terus ketagihan dan bergantung pada bahan tersebut, kata hakim.

 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita