Skip to main content

Singapura

CEO baharu Agensi Makanan Singapura pada 1 Mei

Agensi Makanan Singapura (SFA) akan mempunyai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu mulai 1 Mei, dengan pelantikan Encik Chan Chee Weng Damian dari Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB).

Anggaran Waktu Membaca:
 CEO baharu Agensi Makanan Singapura pada 1 Mei

Encik Chan Chee Weng Damian (kiri) akan menggantikan Encik Lim Kok Thai sebagai CEO Agensi Makanan Singapura pada 1 Mei 2024. (Gambar: MSE)

Diterbitkan : 25 Mar 2024 06:44PM
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) akan mempunyai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu mulai 1 Mei, dengan pelantikan Encik Chan Chee Weng Damian dari Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB).

Encik Chan menggantikan Encik Lim Kok Thai, yang akan bersara daripada perkhidmatan awam, demikian umum Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Isnin (25 Mac).

Encik Chan, 51 tahun kini adalah naib presiden eksekutif kumpulan kapital tenaga kerja EDB dan anggota jawatankuasa eksekutif EDB.

Beliau memegang pelbagai
jawatan kepimpinan utama di agensi itu termasuk peranan dalam pembuatan maju, agrimakanan dan sekitaran kemampanan.

"Encik Chan membawa pengalaman relevan ke SFA hasil kepimpinannya dalam pertumbuhan sektor agrimakanan Singapura sepanjang beberapa tahun lalu. Beliau juga memimpin pembangunan industri Tenaga & Kimia serta Elektronik," menurut MSE.

Meluahkan penghargaan kepada CEO SFA yang akan bersara, MSE menarik perhatian bahawa Encik Lim dilantik sebagai ketua Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) pada Oktober 2017.

Beliau menjadi CEO SFA pada April 2019 selepas beberapa fungsi AVA dipindahkan ke badan lembaga yang baharu.

Di bawah kepimpinan Encik Lim, SFA bekerjasama dengan pihak-pihak relevan untuk memastikan terdapat bekalan makanan mencukupi bagi warga Singapura semasa pandemik COVID-19.

Beliau juga memantau inisiatif untuk membangunkan keupayaan dan kapasiti Singapura dalam menghasilkan secara mampan 30 peratus daripada keperluan makanan secara tempatan menjelang 2030.

Beliau juga memimpin badan lembaga itu dalam menyemak dan mempertingkatkan sistem keselamatan makanan, mengukuhkan keupayaan keselamatan makanan SFA serta menggunakan analitik data untuk mengamalkan pendekatan berdasarkan risiko terhadap pengurusan keselamatan makanan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita