CEO AIC letak jawatan, digantikan oleh CEO ECDA
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Jagaan Bersepadu (AIC), Encik Dinesh Vasu Dash meletak jawatan selepas lebih setahun menyandang jawatan itu.

Encik Dinesh Vasu Dash berundur sebagai CEO AIC pada 27 Mac 2025.
Beliau berundur pada Khamis (27 Mac) untuk menceburi peluang lain, demikian diumumkan AIC pada Jumaat (28 Mac).
The Straits Times melaporkan Encik Dinesh, 49 tahun dijangka akan menceburi bidang politik, dengan Pilihan Raya Umum dijadual diadakan tahun ini.
AIC yang di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan (MOH) ditubuhkan untuk menyelaraskan khidmat jagaan bagi warga emas.
Encik Dinesh memimpin agensi itu sebagai (bakal) CEO pada 1 November 2023 sebelum menyandang jawatan CEO pada Februari 2024.
Beliau akan digantikan oleh Encik Tan Chee Wee, yang merupakan CEO Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) yang akan mengambil alih jawatan itu mulai 1 Mei.
Buat sementara waktu, timbalan CEO AIC Noel Cheah akan bertindak sebagai CEO.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Dinesh atas sumbangannya, AIC menarik perhatian kepada peranannya dalam respons kementerian kesihatan kepada pandemik COVID-19.
"Semasa tempoh penggalnya di AIC, Dinesh memacu beberapa inisiatif utama bagi menyokong program SG Yang Lebih Sihat (Healthier SG) dan Sihat Menua SG (Age Well SG), mengukuhkan perkongsian dalam sektor jagaan masyarakat dan memperluaskan peranan AIC dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar jagaan kesihatan," menurut AIC.
"Beliau juga menyelia penyepaduan Majlis Usia Ketiga (C3A) ke dalam AIC, mengukuhkan kepimpinan agensi itu dalam landskap jagaan masyarakat Singapura."
PERUBAHAN KEPIMPINAN ECDA
Dengan CEO ECDA Encik Tan dijangka mengambil alih jawatan sebagai CEO AIC, Cik Ku Geok Boon dilantik untuk menggantikannya.
Cik Ku merupakan pengasas CEO SG Enable, iaitu agensi utama bagi sektor golongan kurang upaya.
"Cik Ku telah memperluaskan tawaran khidmat SG Enable bagi golongan kurang upaya dan pada 2015 ia mendirikan Enabling Village, iaitu sebuah ruang masyarakat yang inklusif," menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
"Beliau juga memainkan peranan penting dalam membangunkan perkongsian strategik dengan agensi-agensi khidmat sosial, perniagaan, institut pengajian tinggi dan agensi-agensi pemerintah untuk membina sebuah ekosistem kukuh dan menyediakan lebih banyak peluang bagi golongan kurang upaya."
Beliau akan memimpin ECDA mulai 1 Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.