Skip to main content

Singapura

Cemerlang dalam pelajaran dan sukan - Lulusan Raffles Institution pilih laluan bola sepak profesional, tandatangani kontrak dengan Geylang FC

Anggaran Waktu Membaca:
Cemerlang dalam pelajaran dan sukan - Lulusan Raffles Institution pilih laluan bola sepak profesional, tandatangani kontrak dengan Geylang FC
Ahmad Muthaha Sriwaluya, 19 tahun, pemain bola sepak kelab Geylang International FC. (Gambar: Ahmad Muthaha)

SINGAPURA: Bagi ramai pelajar yang telah lulus peperiksaan GCE peringkat 'A', jalan seterusnya adalah untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

 

Namun bagi lulusan Raffles Institution (RI) Ahmad Munthaha Sriwaluya, 19 tahun, beliau mengambil langkah yang kurang konvensional dan membuat keputusan untuk mengejar impiannya di padang bola sepak setelah selesai pengajiannya di RI.

 

Baru-baru ini, Ahmad mendatangani sebuah kontrak profesional dengan kelab bola sepak Geylang International FC (Geylang FC).

 

Namun, terdapat banyak pengorbanan dan cabaran yang ditempuhi Ahmad dalam setiap langkah perjalanannya sebagai seorang pelajar dan atlet.


 

APA YANG BERMULA SEBAGAI HOBI, KINI LALUAN PROFESIONAL

 

Sejak berusia 4 tahun lagi, bola sepak menjadi sukan pilihan Ahmad dan beliau sudah mula bertanding ketika berusia 9 tahun.

 

Ahmad membuktikan keupayaannya untuk mengimbangi masa antara sukan dan pelajaran dengan baik sejak kecil lagi.

 

Ketika beliau terpilih untuk mewakili sekolah rendahnya dalam sebuah pertandingan bola sepak di China semasa musim persiapan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), beliau tetap cemerlang dalam peperiksaan itu.

 

" Pada mulanya, sukan ini bermula sebagai hobi. Saya menggunakan masa lapang saya untuk bermain bola dengan kawan-kawan saya di bawah blok ataupun selepas sekolah. Tapi bagaimana hobi ini terus menjadi cita-cita saya adalah apabila cikgu sekolah rendah saya memperkenalkan saya dengan idea mengikuti kelab bola, " kongsi Ahmad kepada wartawan Syafeera Sofian.

 

TUNTUTAN AMAT MENCABAR, MENYEBABKAN TEKANAN MINDA DAN FIZIKAL

 

Namun, ia tidak semudah yang dijangkakan.

 

Tuntutan bagi mengimbangi kedua-dua pelajaran dan sukan semakin terasa apabila beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat pos menengah.


 
Related article image
Ahmad Muthaha bersama rakan-rakan di Raffles Institution. (Gambar: Ahmad Munthaha)

" Saya rasa lonjakan dari GCE peringkat 'O' ke peringkat 'A' adalah sangat besar untuk saya. "

 

" Ada masa di mana saya benar-benar tidak tahan lagi dan tertekan secara akademik dan rasa terbeban dengan semua tanggungjawab dan komitmen saya sampai ke satu tahap di mana saya sangat letih dan saya berasa seperti tidak mahu pergi latihan, pergi ke sekolah dan ia sangat menyedihkan bagi saya. " luahnya.

 

Namun Ahmad bijak mengatur masa.

 

Ketika musim peperiksaan, Ahmad menggunakan masa yang terluang di antara pengakhiran waktu sekolah dengan permulaan waktu latihan bola sepak untuk mengulangkaji pelajarannya.

 

Sokongan keluarga juga memainkan peranan penting untuk Ahmad kekal bermotivasi.

 

Ibunya tidak putus-putus memberi sokongan dari segi emosi manakala ayahnya, yang juga peminat bola sepak, seringkali mengambilnya dari sekolah lalu menghantarnya ke sesi latihan supaya beliau boleh jimat masa ulang alik dan digunakan untuk belajar ataupun berehat.

 

SUKAN DAN PELAJARAN TIDAK SEMESTINYA BERCANGGAH

 

Dengan sijil GCE ‘A' dalam genggaman serta peluang cerah di padang bola sepak, Ahmad percaya perjalanannya masih panjang.


 
Related article image
Ahmad Munthaha bersama keluarga. (Gambar: Ahmad Munthaha)

" Saya agak bercita-cita tinggi, tetapi saya mempunyai minat dalam bidang perubatan. Mengapa menghadkan diri anda kepada bola sepak sahaja apabila anda juga boleh cemerlang dalam pelajaran juga? " katanya.

 

Baginya segala masa dan usaha yang dicurahkan menuntut ilmu di RI tidak akan disia-siakan.

 

Lebih membanggakan lagi, belia ini juga berkongsi hasratnya untuk tetap menyambung pengajian hingga ke peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah suatu hari nanti.

 

Berkongsi tentang harapannya buat masa hadapan, beliau berkata " Harapan saya adalah untuk memperbaiki diri saya di padang, dan di luar padang. "

 

" Saya juga harap dapat menjadi contoh teladan kepada pemain bola sepak muda bahawa mereka boleh melakukan kedua-duanya dan jangan beri tekanan kepada diri sendiri dalam membuat keputusan pada usia yang muda. "

 

Rancangan Ahmad dalam jangka masa yang pendek ini adalah untuk menjadi pemain bola sepak di bawah Geylang FC setelah menjalani Perkhidmatan negara.

 

Buat masa ini, beliau belum menentukan hala tuju seterusnya selepas kontraknya selama setahun bersama Geylang FC tamat.

 

Namun berharap beliau dapat diberi peluang untuk mewakili Singapura di padang suatu hari nanti.


 
Sumber : BERITA Mediacorp/SF/sf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita