Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Celebfest raikan ulang tahun ke-10, sasar 80,000 pengunjung

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meskipun berdepan dengan kemunculan pemain baharu dan saingan daripada bazar-bazar Hari Raya lain, acara Celebfest yang memasuki tahun ke-10 terus kekal relevan dan semakin meriah.

Acara yang berlangsung selama tiga hari, dari 7 hingga 9 Mac, di Pusat Konvensyen Suntec City ini menampilkan lebih 50 selebriti dari tanah air dan seberang tambak.
 
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Bermula dengan hanya dua dewan pada 2016 dan sekitar 100 jenama tempatan serta dari Malaysia, Celebfest kini berkembang ke empat dewan dan menarik lebih 300 jenama.

Menurut penganjurnya, Adi Media, sejak sedekad lalu dan untuk tahun-tahun mendatang, matlamat utama Celebfest kekal sama iaitu untuk menyokong perniagaan kecil agar terus berkembang.

"Perkara utama yang ingin kami tumpukan adalah membangunkan masyarakat usahawan. Kami ingin menolong perniagaan-perniagaan kecil untuk berkembang, dan mewujudkan masyarakat itu sambil memperkukuhkannya," kata pengasas bersama Adi Media, Cik Dian Rasid.
 
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Tambah beliau, Celebfest bukan sekadar platform jualan, tetapi juga wadah yang menyokong usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

"Bila sudah ada pengalaman menganjurkan Celebfest, kami sedari usahawan ada pelbagai tahap juga. Jadi kami mewujudkan wadah untuk mereka. Kalau mereka yang baharu bermula, mereka boleh sertai FOMO Weekend Market, ada yang nak berkembang, kami ada acara Twilight. Yang sudah maju, kami ada acara Celebfest. Kami adakan laluan untuk masyarakat usahawan supaya kita adakan sokongan untuk mereka untuk berkembang," jelasnya.
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Dengan strategi itu, Celebfest terus menjadi platform utama bagi usahawan kecil dan sederhana untuk mengukuhkan jenama mereka serta berkembang dalam pasaran yang semakin kompetitif.

100 JENAMA PADA 2016, JUMLAHNYA MENINGKAT KEPADA LEBIH 300 JENAMA PADA TAHUN KE-10 CELEBFEST

Celebfest mendapat sokongan kukuh daripada para peniaga, termasuk jenama fesyen tempatan Adrianna Yariqa, yang telah menyertai acara itu sejak tahun pertama.

"Acara ini dapat menawarkan produk untuk setiap lapisan usia dan jumlah pengunjung di sini sangat memberangsangkan. Untuk perniagaan kami, kami sudah maju daripada menjual jumlah produk yang kecil, tetapi apabila kami berniaga di acara Celebfest, kami sentiasa perlu menambah jumlahnya," kata Pengasas Bersama jenama itu, Cik Nurlida Yusof.
(Gambar: Nurhelmy Hakim)

Di samping peniaga berpengalaman, Celebfest juga menjadi platform bagi mereka yang pertama kali mencuba pasaran Singapura.

"Sambutannya sangat memberangsangkan, saya tidak percaya saya berjaya buka gerai di Celebfest buat kali pertama ini. Kami tahu jumlah pengunjung di sini sangat ramai, jadi kami juga agak gementar. Alhamdulillah, sambutannya sangat baik," ujar Pengasas Bersama Sumego.sg, Encik Muhammad Ruzaini Jaffar.

Daya tarikan Celebfest turut menarik ramai selebriti terkenal, termasuk pelakon Anna Jobling, Fattah Amin, dan Sofia Albarakbah, yang memasarkan produk mereka.

Buat pertama kalinya, pelakon Malaysia Yusuf Bahrin dan Ezaidi Aziz membuka gerai menjual kurta di Celebfest, dengan harapan meneroka pasaran Singapura.

(Gambar: Nurhelmy Hakim)
(Gambar: Nurhelmy Hakim)

"Sambutannya meriah. Bila sudah waktu petang, selepas berbuka puasa, suasananya semakin kecoh. Ramai yang datang ke Celebfest juga adalah golongan belia," kata Yusuf.

Ezaidi pula menambah: "Tahun ini pun pertama kali berniaga di Celebfest, jadi insyaAllah tahun depan ada rezeki kita boleh buat kolaborasi juga. Kali ini, kami ingin cuba meneroka pasaran Singapura dan akan cuba mengembangkan lagi penjualan kami dalam tahun mendatang."

Bagi penyanyi Siti Nordiana, yang telah menyertai Celebfest sejak 2016, acara ini telah berkembang menjadi sebuah festival perniagaan yang lebih besar.

"Acara Celebfest, dahulu biasa-biasa sahaja, sekarang sudah menjadi mega. Ramai rakan artis yang terlibat juga dan membuka ruang untuk kami artis Malaysia berniaga di Singapura. Nana sangat suka datang Singapura. Mereka sangat sokong Nana. Mereka akan sokong produk artis dan sangat menghargai," katanya.

Pihak penganjur optimis dapat menarik lebih 80,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara itu berlangsung.

MAJLIS IFTAR BERSAMA SELEBRITI MALAYSIA

Para pengunjung bukan sahaja dapat membeli-belah tetapi juga berpeluang menyertai majlis berbuka puasa bersama.

Pada Jumaat (7 Mac), penganjur menganjurkan majlis iftar khas bersama selebriti Malaysia, termasuk pelakon Anna Jobling, Fattah Amin, Awal Ashaari dan Siti Nordiana.

Acara itu bukan sekadar kesempatan berbuka puasa, tetapi juga platform bagi artis untuk memperluaskan rangkaian mereka dengan rakan industri dan rakan kongsi baharu.

Pasangan selebriti suami isteri, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana, melihatnya sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan industri hiburan di rantau ini.

"Dalam masa kita berbuka puasa, ada juga rakan-rakan artis Singapura, Malaysia. Kita ingin luaskan lagi rangkaian dengan orang Singapura. Mana tahu artis Singapura boleh berlakon di Malaysia, artis Malaysia boleh berlakon di Singapura. Itu sesuatu yang bagus untuk mengeratkan lagi silaturahim," ujar mereka.

Selain sesi berbuka, acara ini turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen busana Hari Raya oleh pereka tempatan serta persembahan muzik yang memeriahkan suasana.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan