Cegah pembiakan nyamuk; kes denggi dijangka melonjak
SINGAPURA: Orang ramai perlu mengambil tindakan serta-merta untuk mencegah pembiakan nyamuk sedang jumlah kes denggi di Singapura terus meningkat.
Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan media pada Rabu (30 Mac).
Jumlah kes denggi naik secara mendadak, dengan hampir 3,000 kes dilaporkan sejak awal tahun ini. Kini, terdapat 112 kelompok denggi aktif - dua kelompok terbesar adalah di Woodlands Drive 17 dengan 185 kes dan kawasan Holland Grove dengan 160 kes.
Kelompok denggi di Woodlands Drive 17 dikesan pada 9 Februari, manakala kelompok di kawasan Holland Grove dikesan pada 12 Februari. Jumlah kes di kedua-dua kelompok itu secara amnya merosot sejak Mac.
Menjelang musim kemuncak denggi antara Jun hingga Oktober, NEA pada Rabu melancarkan Kempen Pencegahan Denggi Kebangsaan tahunan.
Sepanduk amaran denggi baru kempen itu, berwarna ungu, akan dipasang di kawasan-kawasan dengan bilangan nyamuk Aedes aegypti yang tinggi secara berterusan.
"Ini merupakan tempat-tempat yang mempunyai risiko denggi lebih tinggi kerana lebih banyak nyamuk boleh mempercepatkan penularan denggi sebaik sahaja terdapat kes yang sudah dikesan," menurut NEA.
"Kawasan sedemikian adalah kira-kira tiga hingga 10 kali lebih berkemungkinan untuk mencetuskan kelompok denggi yang besar berbanding kawasan dengan bilangan nyamuk lebih rendah."
Bercakap kepada para wartawan, Menteri Negara Kemampanan dan Sekitaran Desmond Tan berkata denggi kekal sebagai ancaman "jelas dan serius" kepada kesihatan awam di tengah-tengah pandemik COVID-19.
"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami memerhatikan kenaikan mendadak jumlah kes denggi di serata Singapura. Ia hampir 3,000 (kes denggi) dari permulaan tahun ini hingga sekarang dan hanya pada minggu lalu sahaja, kami mencatatkan lebih 400 kes. Justeru, ia adalah satu trend yang membimbangkan," tambah beliau.
"Oleh itu tahun ini, malah sebelum kita jejak kemuncak musim denggi, yang selalunya berlaku antara Jun hingga Oktober, NEA memutuskan untuk kami akan melancarkan kempen pencegahan denggi."
Jumlah terkumpul 444 kes denggi dilaporkan pada minggu yang berakhir pada 26 Mac iaitu bilangan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh empat tahun lalu.
"Kempen Pencegahan Denggi Kebangsaan bertujuan untuk menggembleng tenaga masyarakat untuk mengambil tindakan segera bagi mengurangkan jumlah kes denggi. Ini dilakukan dengan menggariskan kawasan-kawasan berisiko tinggi dan juga kesan-kesan akibat denggi terhadap kesihatan orang ramai. Usaha pendampingan di lapangan akan diterajui bersama oleh Penasihat dan Pemimpin Akar Umbi, dengan sokongan daripada para sukarelawan NEA," menurut NEA.
"Bersama-sama, mereka akan melakukan lawatan rumah ke kawasan kelompok denggi dan juga di mana terdapat bilangan nyamuk Aedes aegypti yang tinggi, menasihatkan penduduk tentang tempat yang menjadi kebiasaan pembiakan nyamuk serta mengongsi tip pencegahan denggi. Untuk mengekalkan kadar kesedaran yang tinggi, usaha pendampingan di seluruh negara itu akan dilaksanakan selama sekurang-kurangnya tiga bulan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.