Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Cef" hidang mihun beriani dinobat juara Pertandingan Memasak Reben Kuning 2021

Seramai 12 finalis bersaing bagi merebut gelaran juara Pertandingan Memasak Reben Kuning (YRCC) 2021 di Kompleks Penjara Changi hari ini (25 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 12 finalis bersaing bagi merebut gelaran juara Pertandingan Memasak Reben Kuning (YRCC) 2021 di Kompleks Penjara Changi pada Khamis (25 Feb).

Mereka dipilih daripada 38 banduan yang beradu kebolehan memasak dan daya kreatif mereka dalam pertandingan sejak bulan lalu.

MIHUN BERIANI PILIHAN JURI

YRCC 2021 dimenangi oleh Amin (bukan nama sebenar), 45 tahun, yang menyediakan hidangan mihun beriani dengan masala ikan dan acar.

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

Adik perempuannya, Siti (bukan nama sebenar), 40 tahun, akur terkejut dengan keputusan membanggakan abangnya itu.

"Saya sangat terkejut dia menang kerana dia tidak memasak langsung. Tapi apabila saya merasakan masakannya, ia sangat sedap. Mungkin dia akan ada masa depan dalam bidang masakan," ujar Siti.

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

Dengan kejuaraan tersebut, Amin membawa pulang hadiah wang tunai S$200.

MENANG TEMPAT KE-4, ADAM HASRAT DALAMI MASAKAN MEXICO

Pernah bekerja di sebuah restoran makanan Mexico, Adam (bukan nama sebenar) memanfaatkan pengalaman tersebut bagi menyediakan hidangan ikan siakap dengan salsa verde dan kentang lenyek bagi Peringkat Akhir Pertandingan Masakan Reben Kuning (YRCC) tahun ini.

Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

Bahkan kata-kata pujian daripada ibu tersayang, Cik Marie (bukan nama sebenar), 51 tahun, selepas berpeluang merasakan masakannya juga menjadi pembakar semangat bagi Adam, 23 tahun, untuk terus memberikan yang terbaik.

Malah ini meningkatkan lagi keyakinan pesalah dadah kali pertama itu, yang akhirnya berjaya merangkul tempat keempat.

"Cabaran paling besar saya ialah tahap keyakinan saya yang sangat rendah. Sekarang saya rasa lagi yakin dengan diri sendiri dan saya rasa macam masakan ini semua saya boleh masak, saya rasa saya macam boleh pergi ke peringkat lebih tinggi dan lebih jauh lagi.

"Sebenarnya saya rasa sangat gembira apabila ibu saya dapat rasa masakan saya (kerana) saya dapat membuat mak saya gembira," kongsi Adam.

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

Cik Marie menambah: "Kami tidak boleh berputus asa sahaja dengan mereka. Jika keluarga tidak menyokong, siapa lagi?"

Adam juga meluahkan hasrat untuk mendalami minatnya dalam bidang masakan Mexico di SHATEC selepas dia dibebaskan.

MAHU BUKTIKAN PADA DIRI SENDIRI

Juga menyaksikan perubahan dalam keyakinan diri ialah seorang lagi finalis YRCC, Hakim (bukan nama sebenar), yang cekal mengambil peluang kali ini bagi membuktikan kepada dirinya bahawa dia masih berbakat dalam bidang masakan yang diminatinya.

"Kepuasan yang saya dapat daripada peraduan ini ialah saya mengenal diri, sabar dan juga saya dapat beri motivasi kepada diri saya dan rakan-rakan.

Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

"Maksud saya, bukan bermakna kita dalam penjara, kita tak diberi peluang. Dengan memasuki peraduan sebegini, kami dapat buktikan kepada anggota keluarga, kami di dalam (penjara) bukan tak buat apa-apa, kita pun diberi peluang," jelas beliau.

Berhasil mendapat hadiah saguhati dan hadiah tambahan 'Hidangan Paling Memberi Inspirasi', Hakim, 34 tahun, menganggap platform itu sebagai batu loncatan untuknya terus menjadi cef apabila keluar nanti.

Turut mencungkil pengalaman daripada pekerjaannya sebagai sous chef sebelum ini, 'Hakim' menyajikan ikan siakap teriyaki, dengan tempura sayur, telur dan nasi goreng.

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

Abang Hakim, Ahmad (bukan nama sebenar) berkongsi: " Ini peluang baik untuknya kembali memasak. Dia gemar memasak sejak kecil, jadi saya berharap dia akan menjadi orang yang lebih baik (selepas ini)."

TUKAR HALUAN KE MAKANAN BARAT

Berbeza pula bagi Rahmat (bukan nama sebenar), yang sebelum ini giat sebagai seorang penjaja makanan India Muslim, beliau mengambil pendekatan berlainan dengan menyajikan hidangan ikan siakap herba ala Barat, dengan kentang lada sulah dan brokoli yang disalut mentega.

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

Malah, dengan kemenangannya di tempat kedua, pesalah berulang bagi kesalahan dadah ini melahirkan hasrat ingin membuka kafe selepas dibebaskan kelak.

"Kali ini, berbanding cara masakan India Muslim sebelum ini, saya akan mendapatkan sijil dan memasuki bidang masakan dengan betul.

"Satu hari, saya pasti akan membuka kafe sendiri, jadi saya harus menyesuaikan diri dengan perubahan, dan saya harus berubah untuk melakukannya," kata Rahmat, 34 tahun.

Turut menganggap YRCC sebagai langkah pertamanya, Rahmat berkongsi kepuasan sebenar dalam pertandingan ini adalah menyajikan hidangan itu kepada anggota keluarga mereka sendiri.

"Apabila ibu saya merasa makanan dan saya pula melihat videonya, saya ibarat merasakan sebagai seorang juara," katanya lagi.

Diadakan secara maya, pertandingan dengan tema 'Resipi untuk Perubahan' ini bertujuan melengkapi para pesalah dengan kemahiran F&B bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan selepas dibebaskan.

Menteri Negara Low Yen Ling turut menarik perhatian menerusi pertandingan ini akan meningkatkan lagi kesedaran tentang peluang kedua bagi pesalah.

Malah setiap sokongan, kata beliau, sangat bermakna dalam proses mencabar mereka untuk pulih dan kembali ke pangkuan masyarakat.

YRCC dianjurkan sebagai sebahagian daripada Projek Reben Kuning, dengan kerjasama Persatuan Cef Singapura, bagi meningkatkan kemahiran dan kesedaran tentang program pemulihan yang ditawarkan di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan