Skip to main content

Singapura

Cef Bob bergabung dengan pempengaruh TikTok Koocester buka kedai bakmie

Anggaran Waktu Membaca:
Cef Bob bergabung dengan pempengaruh TikTok Koocester buka kedai bakmie

Gambar: Petikan video daripada Bobmi/Instagram

Diterbitkan : 09 Jun 2024 03:18PM
SINGAPURA: Siapa sangka, pertemuan pertama personaliti tempatan Cef Bob dengan pengarah urusan Yassin Kampung, Winson Ng, boleh bertukar menjadi detik tercetusnya idea untuk membuka perniagaan baharu di tapak Lepak One Corner @ Canberra.

Malah, pertemuan yang dimulakan oleh pempengaruh TikTok, Koocester, sekitar sebulan lalu itu turut membuahkan hasil apabila tiga rakan kongsi tersebut bersetuju untuk melakar rancangan menjual hidangan mi Indonesia, bakmie, dengan jenama BobMi.

Namun, Cef Bob akur beliau enggan 'pening kepala' uruskan tenaga kerja, yang biasanya menjadi masalah utama mengendalikan perniagaan makanan dan minuman (F&B).

"Winson memberi jaminan kepada saya bahawa beliau akan menangani soal tenaga manusia. Beliau juga berkata perniagaan baharu itu akan menggunakan konsep francais. Ketiga-tiga kami sukakan idea itu.

"Namun, saya ingatkan mereka bahawa model francais perlukan prosedur operasi standard (SOP) yang utuh. Ini kerana sekiranya tenaga kerja kerap bertukar ganti, pekerja yang baharu perlu tahu jalankan SOP itu selepas latihan satu jam sahaja.

"Dari situlah Koocester mencadangkan bakmie hasil kunjungannya yang kerap ke Indonesia bagi memberi khidmat kepada kliennya. Koocester jugalah yang memberi cadangan beri nama BobMi," kongsi Cef Bob kepada BERITA Mediacorp.

Pendek kata, Encik Ng menguruskan aspek kewangan, membuat kiraan bagi struktur francais dan mengendalikan isu kos dan operasi.

Cef Bob pula bertindak sebagai duta jenama, selain perlu menghasilkan menu dan SOP, manakala Koocester bertanggungjawab bagi meningkatkan kesedaran jenama dan pemasaran.

PERJALANAN BOBMI! DI MEDIA SOSIAL

Menerusi video di laman Instagram @koocesterfoodie dan @bobmi.sg, ia turut mengongsikan perbincangan santai mereka bertiga dalam membangunkan jenama BobMi.

Modal membangunkan BobMi dikongsi sama rata sebanyak S$15,000 setiap seorang, atau S$45,000 secara keseluruhannya.

Ini mengambil kira kos tenaga kerja, levi dan sewa kedai.

Harga sewa yang perlu dibayar pula dianggarkan 25 peratus daripada hasil pendapatan kedai itu.

Yang pasti, media sosial, terutamanya TikTok, menjadi platform penting untuk merakam perjalanan mereka membangunkan BobMi selain memasarkan cawangan tersebut.

Cef Bob turut akur bahawa TikTok adalah wadah yang paling sesuai untuk meningkatkan kesedaran jenama bagi sebarang perniagaan.

"Kami boleh mencapai spektrum luas demografik dan perkara penting dalam perniagaan sekarang adalah untuk membina satu masyarakat. TikTok membolehkan kami berbuat demikian.

"Kami mencipta kandungan untuk membawa kesedaran bukan hanya kepada perniagaan kami, tetapi juga untuk merakam perjalanan kami dari mula sampai ke tahap sekarang ini.

"Ia ibarat sebuah kisah yang dikongsikan secara serentak sedang perniagaan itu diwujudkan. Dengan cara itulah masyarakat TikTok kami akan rasa dekat dengan jenama kami kerana ia dikongsikan mengikut masa nyata," kongsi Cef Bob kepada BERITA Mediacorp.

HIDANGAN BAKMIE DAN NASI DENGAN SAMBAL GEPREK

BobMi, yang dibuka setiap hari dari 11.00 pagi hingga 12.00 tengah malam, juga menyediakan hidangan bakmie serta nasi, yang disajikan secara asli mahupun dengan sambal geprek atau sambal ijo.

Hidangan ala carte termasuk Bobmie Original ($6.90), Bobmie Sambal Ijo ($7.90) dan Bobmie Sambal Geprek ($7.90).

Selain itu, hidangan nasi terdiri daripada Nasi Bobmi Original ($6.90), Nasi Bobmi Sambal Ijo ($7.90) dan Nasi Bobmi Sambal Geprek ($7.90).

Hidangan tambahan seperti 'cutlet' ayam, wantan makanan laut dan bakso daging pula berharga S$3.

"Mi dan nasi adalah diet harian orang Asia.

"Rahsianya terletak pada sos bakmie dan sambal geprek serta sambal ijo kami. Kami mempunyai profil rasa khas kami sendiri," kat Cef Bob.

Dengan pelancaran BobMi baru-baru ini, ia sekali gus menjadikannya perniagaan kedua yang dibuka Cef Bob dalam masa tujuh bulan.

Awal dari itu, Cef Bob dan sekumpulan rakan kongsi membuka kafe 9Yards di Sepang, Malaysia.
Adakah ini bermakna ia adalah masa yang baik untuk memulakan perniagaan baharu?

"Tiada istilah masa yang baik atau salah untuk membuka perniagaan.

"Tiada risiko, tiada kesilapan, dan kami tidak akan belajar," ujar Cef Bob.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita