Cef Akmal Anuar terima Anugerah Jauhari Berita Harian 2024
Cef Akmal Anuar di sebelah kanan Encik Ong Ye Kung. (Gambar: Nur Arina Ahmad Anis)
SINGAPURA: Cef bertaraf antarabangsa, Encik Akmal Anuar, telah dinamakan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian tahun ini.
Anugerah Jauhari Harapan pula diberikan kepada Cik Zulayqha Zulkifli, pengasas inisiatif Project Hills.
Majlis penyampaian Anugerah Jauhari edisi ke-26 di Hotel Four Seasons pada Jumaat (25 Okt) itu dihadiri Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung selaku tetamu terhormat.
Encik Ong yang memulakan ucapannya dalam bahasa Melayu berkata para pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian tahun ini telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam merintis perjalanan baharu meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
"Mereka merupakan tunjang harapan dan wira yang akan mencipta sejarah bagi golongan muda. Walaupun kita boleh merumuskan ciri-ciri ideal seseorang individu melalui buku atau pengajaran formal di sekolah, tidak ada yang lebih berkesan daripada mengenali suri teladan yang nyata. Mereka mencerminkan nilai-nilai murni yang segera difahami oleh kanak-kanak - 'Inilah yang saya ingin tiru dan capai.'
"Suri teladan ini bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, tetapi juga menerangi jalan ke hadapan bagi masyarakat kita. Melalui teladan mereka, kita dapat melihat cara nilai-nilai murni dan cita-cita luhur boleh diamalkan ke dalam realiti kehidupan seharian," kata Encik Ong.
Encik Ong memuji kedua-dua pemenang tahun ini yang memberi impak besar kepada masyarakat.
Chef Akmal Anuar, yang bermula di gerai Nasi Padang milik ibu bapanya, telah mengukir nama Singapura di pentas kulinari antarabangsa.
"Saya kenal ramai chef, dan saya yakin Akmal didorong oleh kecintaannya untuk mengasah kemahiran dan mengubah diri daripada seorang tukang masak menjadi cef dan akhirnya seorang artisan.
Di sebalik kejayaannya, beliau meluangkan masa untuk mengajar kelas memasak di kelab-kelab masyarakat. Itu adalah sesuatu yang saya kagumi tentang orang-orang berjaya, mereka menunjukkan prestasi (cemerlang) di peringkat antarabangsa sambil menyumbang di tanah air," tambahnya.
Sejak muda, beliau telah berdepan masalah tanpa tempat tinggal dan tanggungjawab menjaga adik-adiknya.
"Beban yang ditanggung berat, tetapi dengan sokongan emosi dan sosial dari[ada masyarakat di sekeliling, beliau berjaya dalam pelajarannya dan memperoleh biasiswa.
"Kisah Zulayqha menunjukkan bahawa apabila kita berkongsi beban, yang paling berat pun dapat dipikul. Mereka yang menerima bantuan sering kali menyumbang semula kepada masyarakat, seperti yang dilakukan Cik Zulayqha," kata Encik Ong.
CEF AKMAL ANUAR JULANG ANUGERAH JAUHARI 2024
"Usaha Tangga Kejayaan."
Itulah peribahasa yang mencerminkan perjalanan chef bertaraf antarabangsa, Akmal Anuar, 42 tahun.
Walaupun tidak mempunyai pendidikan kulinari formal, Cef Akmal kini memiliki lebih 10 restoran di seluruh dunia, termasuk di Timur Tengah, Amerika Syarikat, Eropah, dan Singapura.
Antara anugerah yang pernah diraihnya adalah Bintang Michelin untuk restorannya, 11 Wood-fire di Dubai.
Anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi dalam dunia kulinari.
Selain itu, beliau telah membuka lebih daripada 50 restoran dengan kerjasama Altamarea Group yang berpangkalan di New York.
Salah satu daripadanya telah dinobatkan sebagai 'Restoran Terbaik 2022' oleh laman rekomendasi restoran terkenal, The Infatuation.
CEF AKMAL ANUAR TERSENARAI DALAM FORBES MIDDLE EAST
Baru-baru ini, beliau tersenarai dalam majalah perniagaan berprestij Forbes Middle East sebagai pengiktirafan atas pencapaian luar biasanya.
Senarai itu mengiktiraf usahawan dalam bidang kulinari yang telah menubuhkan restoran dan jenama berpengaruh di Timur Tengah.
Cef Akmal bukan sahaja berbakat di dapur, tetapi juga seorang usahawan dengan wawasan perniagaan yang tajam.
Atas pencapaian gemilangnya dalam dunia kulinari, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian tahun ini.
"Saya terus terang tidak sangka dapat anugerah ini. Saya rasa amat berterima kasih dan bersyukur. Saya rasa ini seperti satu pengiktirafan untuk segala usaha saya dan juga sebagai wakil masyarakat Melayu. Segalanya mungkin jika kita bekerja keras dan fokus terhadap matlamat kita. Tidak kira apa bidangnya — sukan, masakan, atau apa sahaja — asalkan ada hati dan jiwa untuk melakukannya, kita pasti boleh berjaya. Jangan putus asa; teruskan fokus," kata Cef Akmal kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
Apa pula nasihat bagi kepada mereka yang baru berkecimpung dalam dunia kulinari?
"Pada mulanya, jangan fikir banyak, kerja sahaja. Tutup mulut kerja dan fokus. Mungkin permulaannya, gaji yang diterima sedikit tetapi itu semua yang membentuk diri anda sebagai cef. Kerja untuk majikan dan restoran yang bagus," tambah Cef Akmal.
Ditanya bagaimana beliau dapat mengecap pencapaian yang cukup luar biasa dalam bidang kulinari, beliau berkongsi antara ciri terpenting untuk berjaya adalah bersikap rajin, di samping mendapat sokongan yang kukuh daripada anggota keluarga.
CIK ZULAYQHA ZULKIFLI PENERIMA ANUGERAH JAUHARI HARAPAN
Anugerah Jauhari Harapan pula diberikan kepada pengasas bersama Project Hills, Cik Zulayqha Zulkifli.
Seperti Cef Akmal, beliau juga tidak menjangkakan untuk menerima anugerah berprestij ini.
Kata Cik Zulayqha: "Saya amat terkejut kerana saya tidak pernah terbayang untuk mendapat pengiktirafan yang sangat tinggi seperti ini kerana saya adalah seorang individu yang sentiasa membuat kerja kebajikan dan tidak pernah terfikir adakah saya layak atau mampu diberikan anuegrah seperti ini."
PENTINGNYA SOKONGAN MASYARAKAT
Project Hills menghimpunkan sukarelawan dan menyediakan perkhidmatan penting seperti pengagihan makanan serta sokongan emosi kepada keluarga-keluarga di flat sewa.
Sejak dimulakan empat tahun lalu, lebih 2,000 individu daripada pelbagai kaum dan agama telah meraih manfaat daripada inisiatif ini.
Namun, Cik Zulayqha akur mengenai cabaran-cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalankan Project Hills.
“Antara cabaran terbesar yang sering kami hadapi adalah untuk mengumpul dana bagi memberikan bantuan yang sewajarnya kepada para penduduk yang memerlukan.
"Saya rasa adalah penting untuk para belia dan masyarakat kita melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan seperti ini. Kita ingin maju bersama sebagai satu masyarakat. Kita tidak mahu hanya segelintir yang maju, sementara yang lain di sekeliling kita tidak mendapat bantuan dan mungkin tidak mampu mencapai apa yang mereka inginkan,” luah Cik Zulayqha, 30 tahun.
Cik Zulayqha kini merancang untuk menganjurkan sesi dialog bersama keluarga-keluarga di flat sewa untuk lebih memahami cabaran yang mereka hadapi.
Majlis penyampaian Anugerah Jauhari edisi ke-26 itu diadakan di Hotel Four Seasons dengan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung hadir selaku tetamu terhormat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.