Cedok Cookies SG cari rezeki di TikTok LIVE; tempahan naik 10 kali ganda
Bermula sebagai satu hobi, jualan biskut kini menjadi satu lagi sumber pendapatan buat Cik Nur Atiqah Jasman sekeluarga.
Untuk menguji sama ada biskutnya mendapat sambutan, peniaga berusia 29 tahun itu berjinak-jinak dulu memulakan perniagaan dari rumahnya sejak setahun yang lalu.
"Saya bermula dengan Facebook LIVE. Tapi ramai yang cakap dengan saya kenapa tidak buat TikTok LIVE. Mula-mula saya takut kerana untuk beralih kepada wadah baharu bukan senang sebab di Singapura semua orang akan pergi ke TikTok," kata Cik Atiqah, yang sebelum ini menjual pakaian Muslimah secara online.
Sedia maklum persaingan yang sengit dan bagi memberi pengalaman yang lebih menarik, beliau beralih menggunakan TikTok LIVE untuk menjual produknya.
PENGIKUT, TEMPAHAN, PENJUALAN NAIK
Usahanya itu terbukti berbaloi.
Dalam masa empat bulan sahaja, Cik Atiqah berjaya meraih lebih 5,000 pengikut di TikTok.
Jumlah tempahan yang beliau dapat naik 10 kali ganda dengan hasil penjualan pula boleh mencecah lebih S$3,000 setiap minggu.
Bagi memastikan pelanggan terus 'melekat' pada akaunnya, Cik Atiqah mengikuti trend yang popular dalam kalangan netizen.
"Saya menonton TikTok LIVE daripada negara luar yang buat teknik cedok. Jadi ada orang mencedok gula-gula, kristal, dan bila saya tengok TikTok LIVE Singapura, mereka tidak ada membuat teknik cedok seperti biskut dan sebagainya. Jadi memandangkan saya suka sangat biskut, saya buat kajian untuk perisa berbeza dan begitulah saya mula buat Cedok Cookies di TikTok LIVE.
SENTIASA SEDIAKAN PELBAGAI PERISA UNTUK PENUHI CITARASA PELANGGAN
Bukan sekadar gimik, Cik Atiqah juga mengambil strategi sentiasa memperkenalkan perisa baharu untuk terus memikat citarasa pelanggan.
Sejauh ini terdapat lebih 16 perisa yang dijual termasuk perisa asli, Milo, dan garam laut.
"Kami buat perisa bijirin, Koko Krunch, Fruity Pebbles untuk menarik perhatian. Inilah bagaimana orang tak bosan dengan biskut-biskut kami," katanya.
Cik Atiqah hanya tampil 'LIVE' setiap hari Rabu pada jam 1.00 tengah hari dan 11 malam.
Setiap kali beliau keluar 'LIVE', stok biskutnya laris terjual.
"Biskut kami yang paling popular tentunya Nutella. Kami buat hampir 20 kilogram setiap minggu. Kalau Nutella ada, yang lain-lain kami buat dalam 10 kilogram sahaja.
"Kadang-kadang biskut-biskut saya sangat terhad. Mungkin saya boleh buka tempahan cuma 10 paket. Tapi kadang-kadang orang nak lebih.
"Kadang-kadang mereka akan bertengkar dengan saya di ruang sembang kerana mereka mahukan lebih daripada apa yang mereka dapatkan. Jadi saya akan membuat 'service recovery' dan memberitahu mereka bahawa insya-Allah minggu hadapan saya akan membuat perisa ini lagi dan saya akan beri anda lebih," ujar Cik Atiqah yang membuat kesemua biskut-biskut sendiri atau dengan bantuan adiknya.
MAMPU BERI KERJA KEPADA SURI RUMAH LAIN
Berkat kegigihan untuk melihat perniagaannya berjaya, Cik Atiqah kini mampu membantu suri rumah sepertinya, mendapatkan pendapatan sampingan.
"Untuk saya bungkus 140 bungkusan setiap minggu seorang diri, memang tidak boleh. Jadi saya menggajikan kawan-kawan saya yang juga suri rumah yang juga mempunyai anak-anak yang pergi ke sekolah, jadi ada masa seperti lima jam, mereka luangkan masa mereka jadi mereka datang ke rumah saya. Tolong saya dengan logistik, lakukan kawalan mutu atau 'quality control', bungkus dan pastikan siap diambil khidmat penghantaran," tambah Cik Atiqah.
Ibu dua orang anak berusia dua dan empat tahun itu kini berharap dapat membuka sebuah kedai dalam masa empat hingga lima tahun akan datang.
Untuk mencapai impian itu, Cik Atiqah berusaha mengasah lagi kemahirannya.
"Saya sudah mendaftar pada bulan November ini untuk pelajar lebih tentang pemasaran perniagaan. Saya rasa itulah perkara utama yang saya ingin tahu dulu sebelum saya boleh teruskan usaha.
"Pada masa yang sama saya juga rancang untuk daftarkan diri ikuti kelas membuat kek, kerana lambat laun saya mahu tawarkan lebih banyak produk bukan sahaja biskut," ujar Cik Atiqah yang belajar resepi sendiri, dan juga daripada ibu dan neneknya.
HBB YANG MAHU TEROKA MEDIA SOSIAL PERLU LEBIH BERSEDIA
Menurut AMP Singapura, semangat dan kecekalan yang dipamerkan Cik Atiqah itu antara ciri-ciri penting yang diperlukan setiap peniaga dari rumah.
Bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing juga, para HBB perlu menawarkan produk atau khidmat yang bermutu dengan harga kompetitif, mengenali keinginan pelanggan, serta melakarkan strategi perniagaan yang kukuh.
"Selain mempunyai ilmu atau kemahiran dalam bisnes, mereka harus stabil dalam asas HBB mereka, mereka perlu lihat dari segi tiga perkara. Produktiviti mereka, kedua inovasi dalam perniagaan dan yang ketiga untuk mengurangkan kos perniagaan.
"Selain itu mereka harus peka dengan trend atau norma bisnes. Ketika ini ialah bisnes online. Pesanan hingga pembayaran dilakukan online. Jadi perlu ada kemahiran dari sudut itu. Ini bererti beliau harus tahu tentang teknologi dan memanfaatkan teknologi untuk membantu HBB beliau," kata Pengurus Program dan Kerjasama, AMP Singapura, Cik Fauziah Rahman sambil menambah ilmu itu turut dikongsikan menerusi Program Niaga Mikro AMP bagi membantu HBB.
Lebih 600 peserta sudahpun menjalani Program Niaga Mikro AMP sejak ia dimulakan pada 2005.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.