CECA tidak beri akses kerakyatan, PR, pekerjaan secara automatik kepada warga India: MTI
Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (CECA) tidak memberikan warga India akses kepada status kerakyatan, penduduk tetap atau pekerjaan di sini secara automatik,

(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (CECA) tidak memberikan warga India akses kepada status kerakyatan, penduduk tetap atau pekerjaan di sini secara automatik, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Khamis (27 Ogos).
"Adalah tidak benar bahawa di bawah CECA, warga India boleh masuk ke Singapura dan menjadi penduduk tetap dan rakyat. Tiada sebarang peruntukan seperti itu dalam CECA," menurut seorang jurucakap MTI.
"Adalah tidak benar juga bahawa CECA menetapkan syarat untuk Singapura memberi Pas Pekerjaan kepada golongan PME dari India yang mahu bekerja di sini," menurut jurucakap itu, merujuk kepada para profesional, pengurus dan eksekutif (PME).
Kenyataan oleh jurucakap itu dikeluarkan sebagai respons kepada pertanyaan pihak media mengenai sama ada CECA memberikan warga India "akses automatik" kepada kerakyatan, status penduduk tetap dan pekerjaan di Singapura.
CECA dimeterai pada 2005. Berdasarkan maklumat di laman web Pemerintah Singapura, perjanjian itu memperuntukkan konsesi tarif yang diperluaskan dan memperbaiki kaedah penentuan asal yang memberi perniagaan Singapura lebih akses kepada pasaran India, dan membenarkan pergerakan bagi empat jenis peniaga antara Singapura dengan India.
Tiada sebarang perjanjian dagangan bebas Singapura, termasuk CECA memerlukan negara itu untuk memberikan akses Pas Pekerjaan secara automatik kepada warga asing, menurut jurucakap MTI pada Khamis.
Kesemua warga asing yang memohon untuk Pas Pekerjaan mesti memenuhi kriteria sedia ada, dan semua syarikat mesti mematuhi undang-undang pemgambilan pekerja secara adil, menurut jurucakap itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.