Skip to main content

Singapura

CDC Barat Daya meterai perjanjian dengan 14 rakan bimbingan kerjaya

Tenaga kerja Singapura akan mempunyai peluang lebih baik untuk kekal relevan dalam dunia yang berubah-ubah.

Anggaran Waktu Membaca:
CDC Barat Daya meterai perjanjian dengan 14 rakan bimbingan kerjaya
Diterbitkan : 18 Jul 2025 07:45PM Dikemas Kini : 18 Jul 2025 07:46PM
  • Menteri Pendidikan Desmond Lee berikrar akan berusaha "lebih meluas, lebih mendalam, dan lebih tinggi lagi" untuk melengkapkan rakyat Singapura dengan kemahiran pekerjaan masa hadapan.
  • Kerjasama baharu antara CDC Barat Daya dengan 14 penyedia latihan turut diumumkan di acara tersebut.
  • Bagi memastikan latihan yang relevan, pemerintah akan meningkatkan mutu kursus dan para pelatih serta melibatkan para majikan secara langsung.
  • "Pendekatan serampang empat mata ini memastikan bahawa para penduduk kami di daerah barat daya bersiap sedia bagi masa hadapan, meskipun tempat kerja pantas berubah dan dinamik," kata Datuk Bandar CDC Barat Daya, Low Yen Ling.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Tenaga kerja Singapura akan mempunyai peluang lebih baik untuk kekal relevan dalam dunia yang berubah-ubah.

Menteri Pendidikan Desmond Lee berikrar akan berusaha "lebih meluas, lebih mendalam, dan lebih tinggi lagi" untuk melengkapkan rakyat Singapura dengan kemahiran pekerjaan masa hadapan.

Ini sedang gerakan SkillsFuture meraikan ulang tahunnya yang ke-10.

Beliau berkata demikian semasa Pesta SkillsFuture di CDC Barat Daya, iaitu yang pertama daripada lima acara yang bertujuan menggalak para penduduk supaya bertanggungjawab ke atas pengembangan mereka sendiri.

"Kita memulakannya 10 tahun lalu.

"Ia memberikan kita asas yang baik di tengah-tengah apa yang berlaku di sekeliling kita dan di tengah-tengah cabaran yang ada di hadapan kita kerana kita hidup dalam dunia yang semakin tidak menentu, dengan teknologi yang pantas berkembang maju.

"Maka itu, gerakan SkillsFuture adalah sangat penting sekarang," kata Menteri Pendidikan Desmond Lee.

Usaha itu lebih daripada meningkatkan kemahiran individu sahaja.

Ia akan menghimpunkan para majikan, kesatuan sekerja, kumpulan dagangan dan rakan-rakan masyarakat bagi memperkukuh ekosistem tersebut.

Kerjasama baharu antara CDC Barat Daya dengan 14 penyedia latihan turut diumumkan di acara tersebut.

Ia bertujuan mendampingi 3,000 individu menerusi bengkel, perbincangan dengan pihak industri serta kunjungan ke syarikat-syarikat dalam sektor jagaan, digital dan hijau.

Bagi memastikan latihan yang relevan, pemerintah akan meningkatkan mutu kursus dan para pelatih serta melibatkan para majikan secara langsung.

Ini demi memastikan kemahiran yang dipelajari dapat dipadankan dengan keperluan industri.

"Pendekatan serampang empat mata ini memastikan bahawa para penduduk kami di daerah barat daya bersiap sedia bagi masa hadapan, meskipun tempat kerja pantas berubah dan dinamik.

"Dan kami melakukan ini supaya kami dapat berhubung dengan para penduduk kami di daerah barat daya mengenai peluang pekerjaan baharu dan juga untuk menyokong mereka dalam perjalanan pembelajaran mereka serta perjalanan pembangunan kerjaya mereka supaya mereka boleh berkembang di tempat kerja yang pantas berubah," kata Datuk Bandar CDC Barat Daya, Low Yen Ling.
Sumber : CNA/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita