Skip to main content

Singapura

CCIS SG berhentikan pekerja kerana kesan sekatan Amerika jauh lebih besar dari yang dijangka

Anggaran Waktu Membaca:
CCIS SG berhentikan pekerja kerana kesan sekatan Amerika jauh lebih besar dari yang dijangka

Pejabat CCIC Singapura. (Gambar: Glassdoor)

Diterbitkan : 09 Jun 2025 04:07PM Dikemas Kini : 09 Jun 2025 04:08PM
SINGAPURA: Syarikat pemeriksaan kargo CCIC Singapore, yang baru-baru ini memberhentikan ratusan pekerja, menyatakan pada Isnin (9 Jun) bahawa pihaknya terpaksa berbuat demikian kerana kesan sekatan Amerika Syarikat ternyata jauh lebih besar daripada yang dijangkakan, dan bahawa ia sudah menghentikan operasinya di Singapura.

Firma yang berpangkalan di Singapura dan ada kaitan dengan China itu adalah antara 15 syarikat yang disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat pada 13 Mei kerana membantu menyembunyikan asal usul minyak Iran yang dihantar ke China.

"Disebabkan kesan langsung sekatan Amerika Syarikat, akaun bank syarikat sudah dibekukan, menyebabkan syarikat tidak berupaya memulangkan pendapatan atau menampung perbelanjaan. Ini menyebabkan gangguan aliran tunai, kehilangan pelanggan dan gangguan teruk ke atas operasi keseluruhan," syarikat itu memberitahu Mediacorp dalam satu kenyataan dalam bahasa Cina.

"Dalam keadaan ini, syarikat terpaksa mula membubarkan perniagaan dan mengurangkan kakitangan. Sebab utama adalah kesan sekatan sudah jauh melebihi jangkaan - bank berhenti menyediakan perkhidmatan, dan gaji serta kos operasi tidak lagi dapat dibayar."

CCIC Singapore menyatakan bahawa pihaknya akan membayar gaji untuk bulan Mei dan sebahagian daripada bayaran tamat perkhidmatan kepada setiap pekerja yang terjejas dalam tempoh tiga hari. Notis pemberhentian kerja yang dihantar kepada pekerja menyatakan bahawa faedah pemberhentian kerja hanya akan dibayar sepenuhnya selepas proses pembubaran selesai, dijangka pada tarikh 30 Jun 2026.

Dua pekerja sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa CCIC Singapore mempunyai lebih 400 pekerja di Singapura dan Malaysia, dengan majoriti berpangkalan di Singapura. Seorang lagi pekerja berkata firma itu mempunyai lebih 300 pekerja di Singapura sahaja.

Syarikat itu menambah pada Isnin bahawa ia sudah membuat keputusan "sukar" untuk menamatkan operasinya di Singapura selepas "pertimbangan teliti".

"Keputusan ini amat mencabar bagi pasukan pengurusan, tetapi ia adalah pilihan rasional yang perlu dibuat dalam keadaan semasa," katanya.

CCIC Singapore adalah anak syarikat milik penuh China Certification & Inspection Group (CCIC), sebuah syarikat milik negara China dengan ibu pejabat di Beijing.

Apabila ditanya mengenai komennya mengenai tuduhan Amerika Syarikat dan sama ada ia berhasrat untuk merayu, syarikat itu berkata ia "secara konsisten menghendaki anak-anak syarikatnya mematuhi undang-undang dan peraturan yang berlaku di negara tuan rumah mereka dan bidang kuasa lain yang berkaitan".

Ia menambah bahawa ia akan terus "menguruskan semua perkara berkaitan mengikut undang-undang dan mengekalkan komunikasi berterusan dengan semua pihak yang berkaitan".

PEMBERHENTIAN KERJA SELEPAS SEKATAN AMERIKA SYARIKAT

Tiga pekerja yang terjejas memberitahu Mediacorp Jumaat lalu bahawa kakitangan di semua jabatan CCIC Singapore dimaklumkan mengenai pemberhentian kerja mereka pada 30 Mei, dengan pemberhentian itu berkuat kuasa mulai keesokan harinya.

Para pekerja, yang bercakap dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan, berkata syarikat itu menangguhkan pembayaran gaji Mei, dengan notis pemberhentian kerja mengaitkannya kepada "pembubaran yang belum selesai" dalam firma itu.

CCIC Singapore ditubuhkan pada tahun 1989 dan alamatnya berdaftar di Singapore Science Park. Pelanggannya termasuk Shell, BP, Total, Exxon Mobil dan syarikat petrokimia utama China, menurut laman CCIC.

Syarikat induk CCIC ditubuhkan pada tahun 1980 dan merupakan sebahagian daripada Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset Milik Negara Majlis Negara China.

Amerika Syarikat menyenaraihitamkan CCIC Singapore kerana membantu mengaburkan asal usul minyak Iran, yang biasanya dilakukan melalui banyak pemindahan kapal ke kapal, pencampuran minyak dan dokumentasi palsu.

Sepehr Energy, yang merupakan entiti pelindung tentera Iran, "secara konsisten bergantung" kepada CCIC Singapore bagi pemeriksaan kargo minyak yang dihantar ke China, menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Pada tahun 2024, CCIC Singapore menyediakan perkhidmatan pemeriksaan semasa pemindahan kapal ke kapal kira-kira 2 juta tong minyak Iran dari kapal yang disekat.

Pada tahun yang sama, firma itu juga "kemungkinan menyediakan" dokumen palsu untuk menyembunyikan identiti kapal lain yang disekat dan mengesahkan kargo minyak Iran sebagai minyak mentah Malaysia.

Menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, perdagangan minyak haram Iran membiayai pembangunan peluru berpandu balistik dan dron serta kumpulan pengganas serantau.

Sekatan itu membekukan semua aset syarikat berkait Amerika Syarikat dan individu yang disenaraihitamkan. Selain itu, mana-mana syarikat yang sekurang-kurangnya separuh dimiliki oleh mereka yang disekat juga dihalang daripada urus niaga yang melibatkan perniagaan Amerika Syarikat atau sistem kewangan Amerika Syarikat.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita