Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CCCS terbitkan panduan amalan adil industri ubah elok

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 May 2022 05:56PM Dikemas Kini : 05 May 2022 08:36PM

SINGAPURA: Satu panduan baru berhubung amalan perdagangan adil bagi industri ubah elok rumah dikeluarkan.

Antara amalan-amalan disarankan yang digariskan termasuk menentukan tarikh akhir yang jelas serta menetapkan harga secara telus tanpa sebarang kos tersembunyi.

Panduan tersebut, yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS), juga mengesyorkan agar kontraktor menyediakan dasar pertukaran, pembaikan dan pengembalian wang secara jelas.

Semua saranan yang dikemukakan itu bertujuan untuk memperbaiki amalan perniagaan dalam industri tersebut dan membantu para penyedia khidmat reka bentuk dalaman atau perkhidmatan ubah elok untuk menjauhi amalan tidak adil.

Demikian jelas Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Khamis (5 Mei).

Industri ubah elok menyaksikan antara kadar aduan tertinggi yang dibuat kepada CASE, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan media bersama.

CASE menerima 1,300 aduan terhadap kontraktor pada 2021. Pada suku pertama 2022 sahaja, 419 aduan seumpama itu sudahpun dibuat kepada CASE.

Daripada jumlah itu, CASE menawarkan nasihat kepada 87 peratus pengguna mengenai cara bagaimana untuk menghuraikan pertikaian mereka.

CASE juga membantu 13 peratus daripada pengguna tersebut untuk berunding dan menjadi pengantara dalam kes pertikaian mereka. Sekitar 39 peratus daripada kes yang difailkan terhadap kontraktor ubah elok sudahpun dileraikan.

Bagi kes-kes di mana huraian tidak dapat dicapai, 76 peratus daripada pengguna memilih untuk menyelesaikannya melalui kaedah guaman manakala 24 peratus daripada mereka memutuskan agar tidak meleretkan hal lebih lanjut.

Menurut CCCS dan CASE, sebahagian besar aduan yang diterima melibatkan mutu perkhidmatan yang tidak memuaskan dan kegagalan memenuhi tanggungjawab kontrak di pihak kontraktor. Ini termasuk mutu kerja yang lemah, mutu rendah bagi bahan yang digunakan untuk kerja ubah suai, kemajuan lembap atau gagal sama sekali untuk menyelesaikan kerja ubah elok mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Panduan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para kontraktor tentang amalan-amalan baik yang seharusnya mereka amalkan bagi membolehkan pengguna membuat keputusan lebih berhemah serta tatalaku yang mungkin membentuk amalan tidak adil di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) 2003," menurut pihak-pihak berkuasa itu.

Panduan tersebut dimuktamadkan setelah CCCS mendapatkan maklum balas daripada CASE dan pihak berkepentingan seperti Persatuan Kontraktor Ubah Elok dan Pembekal Bahan Singapura, Majlis Pentauliahan Reka Bentuk Dalaman Singapura serta Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Panduan lengkap mengenai Amalan Perdagangan Adil bagi Industri Ubah Elok disediakan di laman CCCS.

Ketua Eksekutif CCCS Sia Aik Kor berkata kontraktor seharusnya menyediakan maklumat yang jelas dan tepat kepada pengguna serta tidak membuat tuntutan palsu mahupun mengelirukan mengenai perkhidmatan mereka.

Kontraktor juga digalakkan supaya mendapatkan tanda CaseTrust oleh CASE sebagai satu jaminan buat pengguna bahawa mereka komited untuk berpegang kepada amalan perdagangan yang adil serta amalan perniagaan yang baik.

CaseTrust mewakili perniagaan di bawah senarai putih yang sudahpun dinilai oleh CASE sebagai diyakini dalam cara ia berurusan dengan para pengguna.

Perniagaan ubah elok yang ditauliahkan di bawah skim tersebut dikehendaki menggunakan Kontrak Ubah Elok Standard CaseTrust yang menggariskan butiran harga serta memastikan ia bertanggungjawab ke atas semua perkhidmatan yang disenaraikan dalam sebuah projek ubah elok.

Perniagaan sedemikian juga mesti melindungi bayaran pendahuluan pengguna melalui pembelian bon prestasi cengkeram yang melindungi wang pendahulan sekiranya berlaku penutupan perniagaan, syarikat gulung tikar ataupun pembubaran sebelum kerja ubah elok selesai dilakukan.

“Untuk melindungi kepentingan mereka, pengguna dinasihatkan agar elak daripada membuat bayaran pendahuluan dalam jumlah yang besar serta membuat pembayaran secara beransur-ansur apabila setiap peringkat kerja ubah elok selesai dijalankan," kata Presiden CASE Melvin Yong.

CASE menasihatkan mereka yang merancang untuk mendapatkan perkhidmatan syarikat reka bentuk dalaman mahupun ubah elok supaya mengambil perhatian terhadap perkara berikut:

- Kaji kewibawaan dan rekod prestasi kontraktor ubah elok sebelum menandatangani kontrak pengubahsuaian.

Bertegas agar anda diberi kontrak bertulis untuk melindungi kepentingan anda.

Kontrak itu seharusnya menyatakan bagaimana kelengahan pada kerja akan diurus serta menyenaraikan penerangan yang tepat mengenai barangan dan perkhidmatan yang akan disediakan.

- Berunding agar wang pendahuluan dapat dibayar pada harga serendah mungkin.

Berunding untuk membuat bayaran secara bertahap-tahap, mengikut kemajuan projek.

- Rakamkan kerosakan tertunggak disebabkan oleh kerja ubah elok dengan memetik gambar. Pastikan kerosakan tertunggak itu dibaiki sepenuhnya sebelum membuat pembayaran penuh.

Gambar-gambar boleh digunakan sebagai bukti sokongan seandainya berlaku pertikaian.

  • Langgani kontraktor ubah elok yang ditauliahkan oleh CaseTrust.
  • Pengguna boleh melayari laman CaseTrust untuk memeriksa sama ada sesebuah perniagaan itu bertauliah.
  • Pengguna juga boleh mengenal pastinya dengan mudah melalui tanda CaseTrust yang dipaparkan di hadapan kedai mereka dan bahan komunikasi perniagaan.
  • Lebih banyak nasihat tentang mendapatkan kontraktor ubah elok disediakan di laman CASE.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan