Skip to main content

Singapura

CCCS pantau tingkah laku antipersaingan di tengah-tengah kenaikan harga minyak

Anggaran Waktu Membaca:
CCCS pantau tingkah laku antipersaingan di tengah-tengah kenaikan harga minyak

Dr Tan See Leng. (Gambar Fail)

SINGAPURA: Penguasa persaingan Singapura akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas jika ia menemui bukti tingkah laku antipersaingan seperti kenaikan harga yang berselaras.

Ini menyusuli kenaikan harga minyak global dan domestik disebabkan ketegangan antara Rusia dengan Ukraine, kata Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng hari ini (10 Mac).

Semasa menjawab pertanyaan daripada Anggota Parlimen (AP) Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang) mengenai apa yang dilakukan pemerintah untuk mencegah perbuatan mengaut keuntungan, Dr Tan berkata sementara harga minyak ditentukan oleh pasaran, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) akan memerhatikan dengan teliti untuk memastikan pasaran yang terbuka dan berdaya saing.

Sejak permulaan tahun, Dr Tan berkata peruncit tempatan sudah mengubah-ubah harga minyak mereka secara berkala, sedang harga minyak global dan Singapura meningkat disebabkan ketegangan antara Rusia dengan Ukraine.

Beliau berkata bahawa sebaik sahaja perang itu bermula, tiga peruncit meningkatkan harga minyak lebih tinggi pada 24 hingga 25 Februari, sementara lagi dua peruncit tidak mengubah harga.

"Secara keseluruhan, kenaikan harga minyak petrol dan diesel mencerminkan kenaikan harga minyak mentah sejak beberapa bulan sebelum ini," katanya.

Dr Tan berkata pemerintah akan terus memantau pergerakan harga dalam industri minyak petrol runcit, sambil menambah bahawa pengguna yang berpengetahuan turut menjadi kunci untuk menghalang penetapan harga yang tidak munasabah.

Pengguna boleh membandingkan harga minyak runcit serta pelbagai diskaun dan rebat merentasi peruncit yang menggunakan Fuel Kaki, iaitu satu laman yang dibangunkan Persatuan Pengguna Singapura (CASE) untuk membandingkan harga minyak petrol runcit.
 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita