CCCS fail perintah mahkamah terhadap peruncit; dakwa air alkali cegah barah, kencing manis
SINGAPURA: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) memfailkan prosiding mahkamah terhadap sebuah syarikat yang dipercayai membuat dakwaan palsu dan mengelirukan pelanggannya berhubung sistem penapisan air beralkali dan pakej khidmat penyenggaraan.
Syarikat berkenaan, Triple Lifestyle Marketing, dipercayai mengelirukan pelanggan bahawa air beralkali atau ditapis boleh mencegah atau membaiki keadaan penyakit, seperti barah, kencing manis dan atritis.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (16 Dis), CCCS menyatakan ia memfailkan prosiding mahkamah di Mahkamah Negara terhadap Triple Lifestyle Marketing dan pengarahnya, Tan Jia Huang, di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil).
CCCS meminta mahkamah untuk menyiasat syarikat tersebut berhubung dakwaannya yang palsu dan mengelirukan, dan memfailkan injunksi bagi menghalang syarikat tersebut daripada terus berbuat demikian.
Triple Lifestyle Marketing menjual sistem penapisan air beralkali dan pakej khidmat penyenggaraan kepada pelanggan.
Triple Lifestyle Marketing disyaki terlibat dalam amalan-amalan tidak adil termasuk: Membuat dakwaan palsu bahawa produk-produknya diluluskan dan pelanggannya termasuk Pusat Perubatan Thomson; alat penapis airnya percuma untuk tempoh waktu terhad tetapi didapati tidak benar; ia akan menggantikan atau membaiki alat penapis air yang rosak atau menukar penapis air di bawah pakej khidmat penyenggaraannya.
Dari Januari 2020 atau sekitar Disember 2020, syarikat tersebut dipercayai menerima bayaran bagi pakej khidmat penyenggaraannya, yang termasuk jaminan setahun bagi penapis air "tanpa tangki" kepada pelanggan.
Namun, syarikat tersebut sedia maklum bahawa ia tidak berupaya membaiki atau menggantikan alat penapis air yang rosak dengan unit berfungsi semasa tempoh jaminan, menurut CCCs.
Triple Lifestyle Marketing juga dikatakan mengelirukan pelanggan bahawa air beralkali atau/dan ditapis boleh mencegah atau membaiki keadaan penyakit, seperti osteoporosis, barah, kencing manis, artritis, penyakit usus atau ginjal dan psoriasis.
Di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil), amalan tidak adil merujuk kepada sesebuah runcit yang mengeluarkan dakwaan palsu atau mengelirukan, atau menerima bayaran bagi barangan dan khidmat yang ia tahu ia tidak dapat membekalkan sepanjang tempoh jaminan yang ditetapkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.