CCCS bakal kawal selia keselamatan produk mulai Julai
Pengguna dan perniagaan boleh menghubungi CCCS bagi isu berkaitan amalan perdagangan yang adil, keperluan keselamatan produk pengguna, serta pematuhan terhadap timbang dan sukat. (Gambar: CCCS)
Peranan itu kini dipegang oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) melalui di bawah Pejabat Keselamatan Produk Pengguna (CPSO).
Dengan mandat yang diperluaskan, fungsi keselamatan produk pengguna dan metrologi undang-undang di bawah EnterpriseSG akan dipindahkan kepada CCCS, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh pemantau pengguna itu pada Isnin.
Pengguna dan perniagaan boleh menghubungi CCCS bagi isu berkaitan amalan perdagangan yang adil, keperluan keselamatan produk pengguna, serta pematuhan terhadap timbang dan sukat, tambah kenyataan itu.
CCCS dan EnterpriseSG merupakan lembaga berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.
“Penyatuan fungsi perlindungan pengguna, metrologi undang-undang dan persaingan di bawah CCCS mengukuhkan misi agensi untuk memastikan pasaran Singapura berfungsi dengan baik,” jelas CCCS.
“Memastikan perniagaan di Singapura menjual produk yang memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan, serta menggunakan ukuran yang tepat dalam urusan dengan pengguna, adalah penting untuk memupuk persaingan yang sihat dan adil — yang akhirnya memberi manfaat kepada perniagaan dan pengguna.”
Gabungan penguatkuasaan persaingan dengan pengawasan perlindungan pengguna juga akan membolehkan CCCS mempunyai “alat lebih lengkap” bagi “mengukuhkan integriti pasaran, menggalakkan inovasi perniagaan, dan mewujudkan sekitaran perdagangan yang lebih dipercayai”, tambahnya.
Ketua Eksekutif CCCS, Alvin Koh, berkata: “Dengan menyatukan peranan pengawalseliaan yang saling melengkapi ini, kami boleh meneroka cara untuk mencapai sinergi operasi yang lebih besar dan membangunkan rangka kerja perlindungan pengguna yang lebih kukuh demi manfaat perniagaan dan pengguna.”
CCCS juga menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan EnterpriseSG untuk memastikan pemindahan fungsi berjalan lancar tanpa gangguan terhadap perkhidmatan sedia ada.
Pemindahan fungsi keselamatan produk dan metrologi undang-undang daripada EnterpriseSG kepada CCCS telah dibentangkan di Parlimen pada bulan Mac menerusi Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.