Skip to main content

Singapura

Cawangan SG tidak terjejas penularan E. coli di Amerika Syarikat: McDonald's

Anggaran Waktu Membaca:
  Cawangan SG tidak terjejas penularan E. coli di Amerika Syarikat: McDonald's

Pelanggan memasuki McDonald's cawangan Toa Payoh pada 15 Mar 2024. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 25 Oct 2024 05:49PM Dikemas Kini : 25 Oct 2024 05:51PM
SINGAPURA: Rangkaian makanan segera McDonald's pada Jumaat (25 Okt) menyatakan operasinya di Singapura tidak terjejas oleh penularan E. coli di Amerika Syarikat yang dikatakan berpunca daripada bawang segar.

Penularan di restoran-restoran McDonald's di Amerika itu, yang menyebabkan 49 orang jatuh sakit dan seorang meninggal dunia, membawa kepada langkah menarik balik bawang hiris daripada pembekal Taylor Farms.

Restoran Burger King, yang juga mendapatkan bekalan daripada Taylor Farms, sudah mengambil langkah yang sama, dan begitu juga KFC dan Pizza Hut Yum Brands.

McDonald's memberitahu Mediacorp bahawa penularan E. coli dan menarik semula penjualan produk berkenaan tidak menjejas operasinya di Singapura.

"Kami mahu memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa isu ini langsung tidak menjejas operasi McDonald's di Singapura," kata seorang jurucakap McDonald's.

"Bahan bawang hiris kami diperolehi daripada pembekal di Malaysia dan Singapura."

Mediacorp juga sudah menghubungi wakil Burger King, KFC dan Pizza Hut di Singapura bagi mendapatkan komen.

Penularan E. coli itu pada awalnya dikaitkan dengan burger Quarter Pounder, tetapi Jabatan Pertanian Amerika menyatakan pada Rabu bahawa bawang segar yang digunakan mungkin menjadi puncanya.

Pengawal selia Amerika masih menyiasat sama ada daging McDonald's mungkin terjejas.

Meskipun E. coli mati apabila daging dimasak dengan betul, Quarter Pounder dihidangkan dengan bawang mentah.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika mengesahkan pada Khamis bahawa Taylor Farms merupakan pembekal bagi lokasi-lokasi McDonald's yang terjejas dan syarikat itu sudah memulakan penarikan balik penjualan bawang segar secara sukarela.

Ia menambah pihaknya sedang bekerjasama untuk menyiasat sama ada bawang adalah punca penularan tersebut.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita