Skip to main content

Singapura

Cawangan Peach Garden di Thomson Plaza dibenar sambung semula operasi susuli insiden cirit-birit

Cawangan Peach Garden di Thomson Plaza dibenarkan sambung semula operasi selepas Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik tempoh penggantungannya pada Isnin (20 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cawangan Peach Garden di Thomson Plaza dibenarkan sambung semula operasi selepas Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik tempoh penggantungannya pada Isnin (20 Mei).

SFA menggantung operasi di restoran makanan Cina itu sejak 22 April lalu selepas beberapa kes cirit-birit dilaporkan.

Restoran itu juga telah melaksanakan langkah-langkah sewajarnya yang ditetapkan oleh agensi itu dan ia dibenarkan beroperasi semula, menurut SFA dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (21 Mei).

Seramai 58 orang jatuh sakit selepas makan hidangan yang disediakan oleh cawangan itu antara 17 dengan 21 April, menurut kenyataan media.

Dua orang dimasukkan ke hospital dan telah dibenarkan pulang, tambahnya.

Pada April lalu, SFA dan MOH menyatakan mereka sedang menyiasat lapan kes cirit-birit melibatkan 43 orang yang makan hidangan yang disediakan oleh restoran itu antara 17 dengan 18 April.

RESTORAN PATUH LANGKAH-LANGKAH DITETAPKAN

Semasa tempoh penggantungan khidmat, restoran itu mematuhi langkah-langkah yang ditetapkan oleh SFA, seperti membuang semua makanan siap untuk dimakan, makanan yang telah dinyahbeku dan bahan makanan yang mudah rosak, menurut kenyataan media tersebut.

Restoran itu turut membersihkan premisnya termasuk peralatan dan sudu garfu serta melakukan pembasmian kuman terhadap permukaan tempat persediaan makanan, meja dan lantai.

Cawangan Peach Garden di Thomson Plaza juga mengambil langkah-langkah tambahan seperti menggantikan mesin ais, pengukus dan penutup cahaya, menurut SFA dan MOH.

"Meskipun selepas tempoh penggantungan itu ditarik balik, SFA akan terus meletakkan Peach Garden di bawah pemantauan teliti untuk memastikan ia mematuhi keperluan keselamatan makanan," menurut pihak berkuasa itu.

SFA sedang menimbangkan hasil dapatan daripada siasatannya dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan jika Peach Garden didapati melanggar Peraturan Kesihatan Awam Sekitaran.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih daripada S$2,000.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita