Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cawangan F&B Marina Bay tambah tenaga kerja jelang sambutan Tahun Baru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menjelang sambutan Tahun Baru yang kembali diadakan di Marina Bay, firma makanan dan minuman (F&B) di kawasan tersebut sedang meningkatkan tahap tenaga kerja mereka.

Ini memandangkan firma-firma tersebut menjangkakan ramai orang yang ghairah untuk menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan itu, sejak 2019.

Beberapa pengendali F&B bagaimanapun menyuarakan keprihatinan mereka mengenai kawasan tersebut yang mungkin begitu sesak sehingga menyebabkan para pelanggan yang sudah membuat tempahan meja, menghadapi kesukaran untuk melalui kesesakan di kawasan tersebut untuk ke kedai mereka.

Enam restoran dan bar di sekitar kawasan Marina Bay, yang ditemui Mediacorp, menyatakan bahawa mereka sudahpun membuat aturan agar mereka mempunyai tenaga kerja tambahan bagi menangani perniagaan yang lebih rancak menjelang sambutan Tahun Baru itu.

Encik M. Rado, pengurus perhubungan awam Nusa, iaitu sebuah restoran panggang Indonesia, berkata bahawa anggota keluarga pemilik restoran akan membantu pada malam sambutan tahun baru itu.

Tambah beliau, mereka merancang untuk membawa tujuh lagi anggota keluarga mereka untuk menambah tenaga kerja kepada 12 orang, berbanding tenaga kerja yang terdiri dari sekitar lima hingga enam pekerja pada hari-hari biasa.

Beliau menjelaskan bahawa restoran tersebut menjangkakan bahawa ia akan melebihi kapasitinya dan menjangkakan 500 pengunjung pada malam sambutan Tahun Baru itu, iaitu dua kali ganda daripada jumlah pengunjung di restoran tersebut setiap hari.

KEBIMBANGAN BERHUBUNG KESESAKAN

Beberapa perniagaan yang ditemui Mediacorp, mengetengahkan kebimbangan mereka mengenai jumlah tinggi kehadiran pengunjung sepertimana yang dijangkakan. Ini kerana mereka bimbang bahawa pengunjung restoran mereka akan menghadapi kesukaran untuk ke restoran tersebut.

"Kami berharap (pengunjung kami) mempunyai (pengesahan) tempahan meja untuk ditunjukkan kepada polis dan pegawai mengawal kesesakan untuk memastikan bahawa mereka dapat ke restoran tersebut kerana itu yang dilaksanakan mereka dalam tahun-tahun sebelum ini," kata Cik Angela May, pengarah masakan di DHM, yang menguruskan restoran Perancis L'Entrecote di Customs House berhampiran Fullerton Bay.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan bahawa apabila jumlah pengunjung melebihi kapasiti selamat yang ditetapkan, kawasan tersebut akan ditutup untuk memastikan keselamatan orang awam, bermakna kemasukan ke kawasan itu akan dihentikan.

SPF sudah menasihati orang ramai untuk memeriksa peta kesesakan secara langsung menerusi portal maklumat mereka, Crowd@Marina Bay, untuk mengetahui keadaan sesak dalam masa nyata. Selain itu, mereka akan sentiasa diberi kemas kini mengenai sebarang penutupan kawasan di sekitar Marina Bay sebelum mereka menuju ke tempat itu bagi perayaan tersebut.

Seramai 500,000 orang dijangka menghadiri acara kiraan detik tahun baru di Marina Bay tahun ini, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Perangkaan tersebut adalah berdasarkan kehadiran semasa acara kiraan detik tahun baru di Marina Bay pada 2019, yang menyaksikan jumlah yang sama.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan