Cawangan Encik Tan didenda S$4,000; gagal pastikan jarak 1 meter antara kerusi pelanggan
Syarikat induk sebuah cawangan kedai makanan Encik Tan di kawasan Orchard Road hari ini (11 Jan) didenda S$4,000 kerana gagal memastikan kerusi para pelanggan disusun pada jarak sekurang-kurangnya satu meter daripada kerusi-kerusi di meja lain.

(Gambar: Facebook/Encik Tan)
SINGAPURA: Syarikat induk sebuah cawangan kedai makanan Encik Tan di kawasan Orchard Road hari ini (11 Jan) didenda S$4,000 kerana gagal memastikan kerusi para pelanggan disusun pada jarak sekurang-kurangnya satu meter daripada kerusi-kerusi di meja lain.
Fei Siong Food Management dikenakan denda itu setelah seorang wakil mengaku bersalah atas satu tuduhan melanggar perintah kawalan COVID-19.
Fei Siong, yang mempunyai lebih 150 cawangan di merata Singapura, dikenakan lapan denda kompaun atau denda di luar mahkamah bagi kesalahan melanggar perintah kawalan sebelum ini di cawangannya yang lain.
Mahkamah diberitahu bahawa pegawai penguat kuasa dari Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengunjungi cawangan Encik Tan di 313 Somerset sekitar pukul 7.50 malam pada 14 Mei tahun lalu.
Para pegawai memerhati sekitaran restoran itu kira-kira lima minit sebelum mula mengukur jarak antara kerusi beberapa pelanggan.
Sepanjang tempoh lima minit, tiada percubaan oleh pihak pengurusan untuk memeriksa keperluan jarak satu meter itu, menurut pihak pendakwa.
Pemeriksaan para pegawai mendapati bahawa terdapat tiga kejadian, di mana bahagian belakang kerusi pelanggan tidak mematuhi jarak selamat satu meter dengan kerusi-kerusi di meja yang lain.
Sebaliknya, ia berada pada jarak 44 sentimeter, 79 sentimeter dan 88 sentimeter. Pihak pengurusan cawangan makanan itu justeru terlepas pandang keperluan untuk mengekalkan jarak satu meter seperti yang ditetapkan di bawah perintah kawalan COVID-19.
Dalam lapan kejadian sebelum ini, Fei Siong Food Management melanggar perintah kawalan di cawangan-cawangan yang lain dan membayar denda dalam kes tersebut.
Pihak pendakwa memohon bagi denda S$5,000 manakala pihak pembela memohon bagi denda tidak melebihi S$2,500.
Hakim menyatakan bahawa syarikat itu pernah didenda sebelum ini dan ia merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan.
Syarikat itu boleh dikenakan denda maksimum sebanyak S$10,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.