CAVIRE-2 berupaya kesan simptom prademensia dengan ketepatan hingga 90%
Sebuah alat realiti maya (VR) baharu berupaya mengesan tanda-tanda prademensia dalam kalangan warga emas, dengan ketepatan sehingga 90 peratus.
Ia sekali gus memendekkan tempoh saringan daripada berjam-jam kepada sekitar 15 minit sahaja.
Di tengah-tengah kes demensia yang semakin meningkat di Singapura, hanya sekitar 12 peratus penduduk berjaya didiagnosis semasa mendapatkan rawatan umum.
Prademensia kini disaring melalui penilaian di atas kertas, namun ia tidak mengambil kira kesannya ke atas situasi harian.
Dengan alat baharu yang dipanggil CAVIRE-2, pesakit perlu menyelesaikan satu siri tugasan menerusi realiti maya.
Alat itu akan menilai ketepatan dan tempoh mereka menyelesaikan tugas harian seperti mengira wang atau membeli-belah.
CAVIRE-2 dibangunkan bersama oleh Poliklinik SingHealth dan firma teknologi tempatan.
Ia mungkin akan diperkenalkan ke Pusat Penuaan Aktif dan klinik-klinik lain pada masa hadapan.
"Ujian atas kertas ini biasanya dilakukan oleh seorang penilai dan beliau perlu hadir untuk mengendalikan ujian itu.
"Jadi kadangkala, ujian ini mungkin mengambil masa yang agak lama.Penilaian CAVIRE-2 ini biasanya akan mengambil masa sekitar lapan minit hingga 10 minit, dan tidak melebihi 15 minit," kata Pegawai Penyelidikan di Poliklinik SingHealth, Lim Jie En.
"Kami sedang cuba untuk gunakan CAVIRE-2 sebagai batu loncatan untuk mengenal pasti seseorang yang berisiko, lakukan intervensi, pantau kemajuan mereka dari sudut kesihatan kognitif menerusi CAVIRE-2.
"Lihat sama ada kesihatan kognitif mereka kekal atau kita boleh lakukan sesuatu mengenainya.
"Pada masa yang sama, ini adalah peluang untuk mempersiapkan ahli keluarga bagi menjaga mereka yang mengalami kemerosotan kognitif dengan lebih baik," kata Pengarah Penyelidikan & Institut Penyelidikan, Jagaan Asas di Poliklinik SingHealth, Dr Tan Ngiap Chuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.