Skip to main content

Singapura

Cathay Cineplexes dituntut lunas hutang S$7.6j jelang hujung Julai

Krisis hutang yang membelenggu Cathay Cineplexes semakin bertambah buruk, dengan kemunculan seorang pemiutang baharu yang menuntut sekitar S$7.56 juta dibayar balik sebelum hujung bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Cathay Cineplexes dituntut lunas hutang S$7.6j jelang hujung Julai

Cawangan Cathay Cineplexes di pusat beli-belah JEM. (Gambar fail: Facebook/Cathay Cineplexes)

Diterbitkan : 09 Jul 2025 10:50PM Dikemas Kini : 09 Jul 2025 10:51PM
SINGAPURA: Krisis hutang yang membelenggu Cathay Cineplexes semakin bertambah buruk, dengan kemunculan seorang pemiutang baharu yang menuntut sekitar S$7.56 juta dibayar balik sebelum hujung bulan ini.

Dalam pemfailan bursa pada Rabu (9 Jul), firma mm2 Asia yang memiliki dan mengendalikan Cathay Cineplexes menyatakan ia menerima surat tuntutan berkanun dari para peguam yang mewakili Linkwasha Holdings, entiti berkaitan dengan Cathay Organisation.

Tuntutan itu berkenaan pinjaman wang S$30 juta yang ditawarkan oleh Linkwasha kepada mm2 Asia pada 2017 untuk membiayai separuh daripada pemerolehan Cathay Cineplexes berjumlah S$230 juta dari Cathay Organisation.

Mm2 Asia menyatakan ia sudah membuat bayaran balik kepada Linkwasha sepanjang beberapa tahun ini walaupun dengan kesan pandemik terhadap perniagaan pawagam dan "beban hutang besar" yang ia tanggung untuk membiayai pemerolehan itu.

Ia menambah setakat 7 Julai, apabila tuntutan undang-undang itu dikeluarkan, ia sudah 'membayar kembali sebahagian besar hutang itu, dengan jumlah tertunggak yang tinggal sebanyak S$7,550,500 termasuk faedah".

Linkwasha - sebelum ini dikenali sebagai Orchard Bowling dan Cathay Bowl, menurut portal Bizfile Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) meminta supaya jumlah tertunggak dilangsaikan selewat-lewatnya pada 28 Julai.

Secara alternatif, mm2 Asia boleh "menjamin atau mengkompaun jumlah tersebut mengikut kepuasan munasabah" Linkwasha menjelang tarikh yang sama.

Jika ia gagal berbuat demikian, ia dianggap gagal membayar hutang tersebut, menurut pemfailan bursa itu.

Syarikat hiburan itu menyatakan ia sedang mendapatkan nasihat guaman dan berhasrat mendampingi Linkwasha bagi "meneroka semua pilihan yang ada di samping meneruskan pelbagai usaha pengumpulan dana".
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita