Cathay Cineplexes dituntut bayar S$3.4 juta bagi tunggakan sewa premis Jem
Cathay Cineplexes sudah terima tuntutan berkanun berjumlah S$3.4 juta bagi sewaan yang tertunggak bagi premis pawagamnya di Jem.
Cawangan Cathay Cineplexes di pusat beli-belah JEM. (Gambar fail: Facebook/Cathay Cineplexes)
Dalam pemfailan bursa pada Rabu (2 Julai), syarikat media tersenarai di papan utama, mm2 Asia, yang memiliki dan mengendalikan Cathay Cineplexes, menyatakan bahawa rangkaian pawagam itu menerima tuntutan tersebut pada Selasa daripada peguam tuan tanah.
Dalam tuntutan berkanun itu – iaitu notis yang diserahkan kepada penghutang – tuan tanah meminta Cathay Cineplexes untuk membayar jumlah sebanyak S$3,446,748.26 yang tertunggak, atau mendapatkan jaminan, atau melunaskan jumlah tersebut mengikut kepuasan munasabah tuan tanah, selewat-lewatnya pada 22 Julai.
Jika Cathay Cineplexes gagal berbuat demikian, syarikat itu akan dianggap tidak mampu membayar hutangnya, menurut tuntutan tersebut.
Kadar faedah kontrak sebanyak 1 peratus sebulan, yang dikira secara harian bermula tarikh jumlah itu perlu dibayar sehingga tarikh pembayaran, akan terus dikenakan ke atas baki jumlah yang tertunggak kepada tuan tanah, menurut kenyataan itu lagi.
Lembaga pengarah mm2 Asia menyatakan ia sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perkara tersebut dan akan membuat pengumuman selanjutnya apabila terdapat perkembangan penting.
Ia turut memaklumkan bahawa lembaga pengarah Cathay Cineplexes juga sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung tuntutan berkanun itu.
Pawagam Cathay di pusat beli-belah Jem ditutup pada 27 Mac selepas rangkaian pawagam itu menerima notis penamatan daripada tuan tanah, DBS Trustee Limited – selaku pemegang amanah Lendlease Global Commercial REIT – untuk menamatkan pajakan tersebut.
Ketika itu, mm2 Asia berhutang sekitar S$4.3 juta dalam bentuk sewa dan menyatakan bahwa ia menutup cawangan tersebut “memandangkan terdapat cabaran yang dihadapi industri pawagam sejak bermulanya COVID-19”.
“Ini adalah hasil rundingan berterusan dengan tuan tanah selama lebih setahun,” tambahnya.
Cathay Cineplexes sebelum ini juga pernah menerima surat tuntutan berjumlah kira-kira S$2.7 juta bagi sewa dan kos lain yang berkaitan dengan operasinya di Century Square dan Causeway Point.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.