Catatan negatif di media sosial? Masyarakat mampu patahkannya menerusi mesej positif
Bagi setiap catatan negatif di media sosial, kita mampu mematahkannya dengan menyebarkan mesej-mesej positif.
SINGAPURA: Bagi setiap catatan negatif di media sosial, kita mampu mematahkannya dengan menyebarkan mesej-mesej positif.
Ini sebagai naratif balas kepada perbuatan pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk menyampaikan agenda-agenda tertentu serta imej negatif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Demikian antara intipati ceramah tahunan Abdul Aleem Siddique bertajuk 'Offline Faith in and Online World' yang diadakan di bangunan Majlis Ugama Islam Singapura hari ini (5 Okt).
Ceramah anjuran Pusat Harmoni itu turut mengajak masyarakat mencari keseimbangan antara dunia maya dengan dunia nyata, lebih-lebih lagi untuk memahami isu-isu sensitif seperti agama.
'TENGGELAMKAN' MESEJ NEGATIF
Semakin banyak mesej positif dimuat naik dan dikongsi di media sosial, maka akan 'tenggelamlah' catatan negatif.
Ini kerana teknologi semakin canggih dan algoritma atau proses dalam wadah-wadah media sosial akan mengetengahkan catatan-catatan yang paling kerap dikongsi dan dimuat naik supaya ia akan dilihat dan dibaca oleh lebih ramai orang.

Lantaran itu, Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama atau IRCC, Alvin Tan, menggesa warga siber khususnya golongan muda supaya memainkan peranan dengan memberikan naratif balas kepada catatan negatif, termasuk yang menghasut kepada kebencian terhadap mana-mana agama dan kaum.
Ini penting, lebih-lebih lagi dalam kehidupan berbilang kaum dan agama di sini.
"Saya rasa anda perlu mencari keseimbangan dan dunia 'online' dan 'offline' semakin bergabung. Jadi bagaimana kita boleh menentukan yang mana baik dan yang mana tidak?
"Saya rasa yang penting adalah pemahaman digital dan perlunya berfikiran kritis dan mempersoalkan apa yang anda lihat online. Jika anda nampak sesuatu yang agak tidak masuk akal, tidak mengapa untuk anda persoalkannya. Tidak mengapa untuk anda pastikannya dan dapatkan maklumat daripada sumber sebenar," kata Encik Alvin.

KEMBALI KEPADA SUMBER ASAS
Begitu juga pandangan Pengurus Pusat Harmoni yang juga penganjur sesi ceramah hari ini, Cik Liyana Rosli Asmara.
Cik Liyana mengajak masyarakat agar kembali kepada sumber rujukan asas, seperti para asatizah atau pakar dalam perkara yang ingin difahami.
"Alam digital itu maknanya dari segi informasi kita dapat lebih cepat, lebih mudah dan kita mempunyai kuasa yang lebih untuk menentukan apa yang kita mahu dari segi informasi. Tapi saya rasa amat penting bagi belia juga untuk merujuk kembali apakah sumber-sumber asas yang lazimnya kita ambil sebagai rujukan dari segi tradisi, dari segi agama," kata Cik Liyana.
Sekalipun demikian, masyarakat tidak harus menolak dunia online disebabkan pengaruh-pengaruh negatif.

TERUS MANFAATKAN WADAH ONLINE
Encik Alvin malah menekankan bahawa amat penting untuk masyarakat terus memanfaatkan wadah-wadah online.
"Jika anda tidak memanfaatkan wadah online, suara anda tidak kedengaran. Mungkin suara-suara jahat yang akan lebih didengar online.
"Masyarakat perlu mengambil langkah untuk mengatakan bahawa mereka mahu menjadi suara positif. Bahawa mereka akan menolak mesej-mesej negatif," ujat beliau.
Natijahnya, masyarakat tidak seharusnya mempercayai 100% apa yang dibaca dan dilihat online.
Para peserta wacana hari ini terdiri daripada sekitar 200 orang dari pelbagai kaum dan agama.
Mereka berpeluang untuk saling bertukar-tukar pandangan, menyuarakan kemusykilan serta mencari idea-idea huraian yang boleh dimanfaatkan.

Salah seorang peserta, Ian Carter dari Pejabat Ehwal Luar Perhimpunan Kerohanian Masyarakat Baha'i Singapura, tertarik dengan konsep naratif balas.
"Sebahagian orang mungkin mempunyai tanggapan tertentu tentang agama orang lain dan ini boleh menyebabkan salah tanggapan. Media sosial pula berupaya memburukkan keadaan. Ada pihak yang akan sengaja membuat masyarakat terus berada dalam keadaan tidak tahu perkara sebenar. Maka kita gunakan naratif balas untuk menolaknya," kata beliau.
Seorang lagi peserta, Ustazah Lina Sakinah mengajak masyarakat untuk kembali kepada rujukan asas apabila berdepan dengan isu-isu agama.
"Sangat penting untuk memahami bahawa tidak semua benda yang kita jumpa di media massa adalah benar. Dan penting untuk selalu periksa dengan para asatizah khususnya perkara-perkara tentang agama.
"Kita harus pergi ke asatizah tempatan untuk memahami apakah pendapat mereka dan bagaimana patut masyarakat kita respons kepada sesuatu perkara yang kita jumpa di media massa," kata Ustazah Lina Sakinah.
Ceramah edisi kesembilan ini diadakan setiap tahun sebagai memperingati usaha-usaha seorang mubaligh dari India, Maulana Muhammad Abdul Aleeem Siddique, yang datang ke Singapura pada tahun 30-an dan memperjuangkan keharmonian kaum dan agama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.