Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Catatan Goh Meng Seng bahawa MOH taja kajian ubat Lianhua Qingwen bagi rawat COVID-19 'tidak betul'

Satu catatan Facebook oleh anggota politik Parti Kuasa Rakyat Goh Meng Seng yang menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) telah menaja kajian mengenai perubatan tradisional Cina Lianhua Qingwen bagi rawatan COVID-19 adalah "tidak betul", tegas kementerian itu pada Ahad (21 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Catatan Goh Meng Seng bahawa MOH taja kajian ubat Lianhua Qingwen bagi rawat COVID-19 'tidak betul'

Kapsul Lianhua Qingwen (Gambar: Facebook/Yiling Pharma)

Diterbitkan : 21 Nov 2021 08:38PM Dikemas Kini : 21 Nov 2021 10:50PM

SINGAPURA: Satu catatan Facebook oleh anggota politik Parti Kuasa Rakyat Goh Meng Seng yang menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) telah menaja kajian mengenai perubatan tradisional Cina Lianhua Qingwen bagi rawatan COVID-19 adalah "tidak betul", tegas kementerian itu pada Ahad (21 Nov).

Encik Goh dalam catatannya berkata MOH menaja satu kajian, yang sepatutnya dijalankan dari Julai 2020 hingga Februari 2021, mengenai keberkesanan Lianhua Qingwen dalam merawat jangkitan ringan COVID-19, menurut kementerian itu.

Encik Goh juga mempersoalkan sebab penemuan kajian itu tidak diterbitkan, dan menuduh Pemerintah berbohong, tambah kementerian itu.

MOH memang telah menawarkan untuk menaja kajian itu di bawah geran penyelidikan perubatan tradisional Cina, menurut kementerian itu pada Ahad.

Bagaimanapun, penyiasat utama kajian itu kemudiannya menarik balik permohonannya kerana beliau tidak berjaya mendapatkan tapak kajian yang sesuai, tambahnya.

"Catatan Encik Goh Meng Seng adalah tidak betul," kata MOH.

"Encik Goh Meng Seng telah menuduh Pemerintah berbohong; ini adalah tuduhan yang serius dan tidak berasas. Kami berhak mengambil tindakan lanjut jika Encik Goh Meng Seng meneruskan dengan dakwaannya yang tidak wajar dan tidak berasas ini."

Setakat ini, beberapa ujian klinikal terkawal secara rambang ke atas Lianhua Qingwen hanya dijalankan di China, jelas MOH.

Bilangan pesakit dalam ujian itu tidak cukup besar, dan "tiada bukti saintifik muktamad" untuk menunjukkan ubat itu boleh digunakan untuk mencegah atau merawat COVID-19 di Singapura, tambahnya.

LIANHUA QINGWEN TIDAK DILULUS UNTUK RAWAT GEJALA COVID-19

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan awal minggu ini bahawa Lianhua Qingwen tidak diluluskan untuk merawat gejala COVID-19.

HSA menyatakan pihaknya sedia maklum dakwaan yang tersebar di media sosial dan dalam kumpulan sembang Telegram bahawa produk Lianhua Qingwen boleh digunakan untuk mencegah atau merawat COVID-19.

"Beberapa produk Lianhua Qingwen disenaraikan sebagai ubat proprietari Cina di Singapura untuk melegakan simptom selesema dan demam. HSA meluluskannya berdasarkan penggunaan bahan dirakamkan yang terdapat dalam produk itu," jelas pihak berkuasa.

"Sehingga kini, tiada bukti saintifik daripada ujian klinikal secara rambang untuk menunjukkan bahawa mana-mana produk herba, termasuk produk Lianhua Qingwen, boleh digunakan untuk mencegah atau merawat COVID-19."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan