Skip to main content

Singapura

Catatan Facebook Donald Low tentang perbicaraan Pritam satu penghinaan terhadap mahkamah: AGC

Catatan Facebook oleh ahli akademik Donald Low mengenai kes perbicaraan ketua pembangkang Pritam Singh adalah satu penghinaan mahkamah, menurut Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Sabtu (19 Okt) sedang ia menimbangkan jika tindakan lanjut perlu diambil.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Catatan Facebook Donald Low tentang perbicaraan Pritam satu penghinaan terhadap mahkamah: AGC

Donald Low (kiri), seorang pensyarah kanan di Institut bagi Dasar Awam Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong. (Gambar: Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong)

SINGAPURA: Catatan Facebook oleh ahli akademik Donald Low mengenai kes perbicaraan ketua pembangkang Pritam Singh adalah satu penghinaan mahkamah, menurut Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Sabtu (19 Okt) sedang ia menimbangkan jika tindakan lanjut perlu diambil.

Catatan Encik Low yang dimuat naik pada 18 Oktober lalu mengandungi komen mengenai bukti yang diketengahkan kepada Mahkamah Negara dalam kes Encik Pritam.

Ketua Parti Pekerja itu dituduh berbohong kepada jawatankuasa parlimen mengenai langkah seterusnya selepas beliau mendapat tahu bahawa mantan Anggota Parlimen Raeesah Khan telah berbohong di Parlimen.

Catatan Facebook itu yang sudah pun dipadamkan juga mengandungi tuduhan terhadap Anggota Parlimen Rahayu Mahzam, yang merupakan anggota Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang ditubuhkan untuk menyiasat kes Cik Raeesah.

AGC menyatakan ia telah menyuruh Encik Low supaya memadamkan catatan Facebooknya yang dimuat naik pada 18 Oktober.

"AGC sedang menimbangkan jika tindakan lanjut perlu diambil," tambahnya.

Ia juga mengingatkan orang ramai bahawa apabila perbicaraan mahkamah sedang berjalan, mereka tidak seharusnya membuat andaian tentang isu-isu yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

"Isu-isu tersebut termasuk sama ada saksi itu boleh dipercayai atau tidak, dan sama ada tertuduh itu bersalah atau tidak," kata AGC.

"Dengan sengaja menerbitkan komen-komen yang berprasangka mengenai isu-isu tersebut apabila perbicaraan mahkamah masih berlangsung, ia boleh mempengaruhi atau menganggu atau menimbulkan risiko sebenar berprasangka kepada proses perbicaraan mahkamah yang masih berlangsung."

Ini sama seperti menghina mahkamah, tambah AGC.

Cik Rahayu sebelum ini berkata pada Sabtu bahawa peguamnya telah menghantar surat kepada ahli akademik yang berpangkalan di Hong Kong itu untuk meminta maaf atas apa yang disifatkan sebagai kenyataan berunsur fitnah yang "melanggar batas" dan "mencemarkan watak dan integriti saya".

Nama Cik Rahayu dipetik semasa perbicaraan pada 17 Oktober lalu apabila peguam Encik Pritam, Andre Jumabhoy sedang menyoal siasat Cik Loh Pei Ying - iaitu bekas anggota kader WP dan penolong Cik Raeesah.

DONALD LOW MOHON MAAF

Dalam satu catatan Facebook pada Sabtu, Encik Low berkata beliau telah membuat tuduhan palsu berhubung Cik Rahayu yang "mencemari watak dan integritinya".

"Saya berjanji untuk tidak menulis sebarang kenyataan lanjut berhubung perkara itu, atau membuat sebarang tuduhan dengan kesan sama atau serupa, dalam apa-apa bentuk sekalipun," kata Encik Low.

Dalam satu catatan yang dimuat naik sebelum itu pada Sabtu, Encik Low juga berkata beliau kini faham bahawa catatannya yang ditulis pada 18 Oktober lalu itu berprasangka isu-isu yang masih dibicarakan di mahkamah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita