Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CASE tidak terima maklum balas berhubung 'salah label' produk makanan di pasar raya

Anggaran Waktu Membaca:
CASE tidak terima maklum balas berhubung 'salah label' produk makanan di pasar raya

(Gambar: Tangkapan skrin video TikTok @ben20220207)

Diterbitkan : 10 Feb 2022 10:54PM Dikemas Kini : 10 Feb 2022 10:59PM

SINGAPURA: Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menasihatkan para pembeli supaya memeriksa sendiri berat produk makanan yang sudah dibungkus seandainya mereka ragu-ragu tentang apa yang tertera pada label tersebut.

Menjawab pertanyaan CNA, kumpulan hak pengguna itu menyatakan pada Khamis (10 Feb) ia tidak menerima sebarang aduan tentang "salah label" pada produk makanan di NTUC FairPrice mahupun di mana-mana pasar raya lain. 

Baru-baru ini, muncul beberapa video media sosial yang menunjukkan terdapat percanggahan antara berat sebenar bahan makanan - seperti ayam dan ikan salmon - yang dijual di cawangan-cawangan NTUC FairPrice dengan berat yang tertera pada label, yang dinyatakan sebagai lebih tinggi. 

Rangkaian pasar raya itu memohon maaf atas insiden tersebut dan menambah ia akan menyiasat apa yang disifatkannya sebagai "salah label".

FairPrice menyatakan mesin timbangnya "diperiksa secara bebas oleh vendor sah yang diperakui pihak-pihak berkuasa" dan ia diperiksa setiap tahun serta menjalani penyenggaraan dua kali setahun. 

Selain itu, FairPrice menyatakan ia sudahpun memperkenalkan protokol tambahan yang memerlukan semua kedainya untuk menjalankan pemeriksaan ke atas mesin-mesin timbang pada setiap hari sebelum waktu perniagaan bermula. 

"Produk-produk segar yang sudahpun dilabel juga akan diperiksa semula beratnya untuk memastikan ketepatan label," menurut FairPrice. 

Presiden CASE Melvin Yong, yang juga Anggota Parlimen Radin Mas, menarik perhatian FairPrice sudahpun memperjelaskan bahawa insiden tersebut berkemungkinan disebabkan oleh kesilapan manusia. 

Beliau berkata CASE mengalu-alukan jaminan daripada FairPrice bahawa terdapat langkah-langkah yang dilaksanakan bagi memastikan ketepatan mesin-mesin timbangnya serta bahawa langkah-langkah tambahan sudahpun dimulakan untuk "mengurangkan insiden seumpama itu daripada berulang".

Encik Yong juga menasihatkan pengguna yang membeli ataupun menimbang produk makanan siap dibungkus untuk mengambil perhatian akan beberapa perkara.

"Periksa berat produk di mesin timbang sekiranya anda ragu-ragu tentang apa yang dinyatakan pada label," kata beliau.

AP itu menambah pengguna seharusnya memastikan paparan pada mesin timbang menunjukkan angka 'sifar' sebelum barang-barang ditimbang.

Beliau menambah mereka seharusnya memaklukan kepada kakitangan sekiranya berat produk atau harga yang tertera tidak jelas mahupun tidak tepat.

Beliau juga menasihatkan pengguna untuk memerika alat penimbang bagi label "ACCURACY" yang menyatakan bahawa ia sudahpun disahkan bagi ketepatannya.

Encik Yong juga menggesa pengguna supaya memeriksa resit mereka bagi memastikan harga barangan yang dibeli dinyatakan dengan betul. 

Sumber : CNA/FZ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan