Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CASE, NYP-SIRS meterai MOU tubuh skim baru tauliah e-niaga

Anggaran Waktu Membaca:
CASE, NYP-SIRS meterai MOU tubuh skim baru tauliah e-niaga

Presiden CASE Melvin Yong dan Pengetua NYP Jeanne Liew menandatangani perjanjian pada 29 Apr 2022. (Gambar: CASE)

SINGAPURA: Persatuan Pengguna Singapura (CASE) dan Institut Kajian Runcit Singapura Politeknik Nanyang (NYP-SIRS) hari ini (29 Apr) memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi membangunkan sebuah skim baru pentauliahan CaseTrust bagi perniagaan-perniagaan online.

Skim itu, yang akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini, akan membantu para pelanggan mengenal pasti dengan mudah peniaga-peniaga online yang diyakini, menurut CASE dan NYP-SIRS dalam satu kenyataan bersama.

Ia akan meliputi "keseluruhan amalan e-niaga dari sebelum dan selepas urus niaga bagi menangani isu-isu biasa yang dialami pelanggan apabila membeli-belah online".

"Pentauliahan itu juga akan menjadi penanda aras industri bagi e-niaga di Singapura, yang komited untuk memastikan amalan-amalan perniagaan adil dan telus," menurut kedua-dua entiti itu.

"E-niaga yang ditauliah CaseTrust akan dapat memberikan lebih jaminan kepada para pelanggan dan lebih menyerlah berbanding perniagaan-perniagaan lain dalam ruang e-dagang yang sengit."

Singapura menyaksikan kenaikan jumlah urus niaga online sejak bermula pandemik COVID-19, menurut CASE dan NYP-SIRS.

Ia menambah, pasaran e-niaga Singapura dijangka tumbuh pada kadar gabungan tahunan sebanyak 16.2 peratus bernilai sekitar S$14.2 bilion pada 2025.

Sedang jumlah urus niaga e-dagang meningkat, CASE turut menyaksikan kenaikan pada jumlah aduan yang berhubung kait dengan urus niaga e-dagang dari empat peratus pada 2017 kepada 14 peratus pada 2021," menurut CASE dan NYP-SIRS dalam kenyataan itu lagi.

Kebanyakan aduan yang diterima oleh CASE pada 2021 melibatkan barangan yang rosak atau tidak memuaskan, isu-isu penghantaran, produk hilang dan iklan yang mengelirukan atau tuntutan palsu oleh peniaga.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk membangunkan skim itu bagi perniagaan-perniagaan online dan juga rangka kerja penilaiannya.

Ini termasuk syarat-syarat CaseTrust seperti iklan beretika, ketelusan harga, penjualan barang dan khidmat selepas penjualan serta integriti perniagaan.

Selain itu, garis panduan relevan daripada rangka kerja pengurusan pertikaian standard bagi wadah-wadah niaga online dan garis panduan bagi urus niaga e-dagang CASE akan digabungkan.

Para peruncit yang lulus rangka kerja penilaian itu akan menerima tanda CaseTrust.

Sebagai sebahagian daripada MOU itu, NYP-SIRS juga akan membantu menganjurkan bengkel sehari untuk memberikan gambaran keseluruhan kepada peniaga-peniaga online tentang skim pentauliahan tersebut dan kriteria-kriteria penilaiannya.

Ia juga akan menyediakan program-program bimbingan secara langsung kepada perniagaan online untuk "membantu mereka mengenal pasti dan menangani jurang dan kelemahan dalam pengalaman pelanggan yang ditawarkan online, sebelum memberi panduan kepada mereka tentang proses permohonan pentauliahan tersebut".

Ia akan dibuka kepada orang ramai dalam suku ketiga 2022.

Menekankan perlunya program pentauliahan itu, Presiden CASE, Melvin Yong, berkata lebih banyak perniagaan sudah mewujudkan laman runcit atau kedai online untuk "memenuhi jumlah pelanggan yang semakin ramai membeli-belah online".

"Malangnya, tidak banyak halangan untuk menyertai e-niaga, di samping kurang piawaian minimum bagi khidmat-khidmat yang ditawarkan menyebabkan jumlah aduan meningkat terhadap peniaga-peniaga online," kata beliau.

"Buat masa ini, kurang skim pentauliahan menyeluruh yang menggalak dan memberi panduan kepada peniaga online untuk mengamalkan perniagaan adil dan melindungi kepentingan pembeli online."

Beliau menambah skim baru pentauliahan itu bertujuan untuk "menetapkan rangka kerja di mana para pelanggan boleh mengenal pasti perniagaan online yang sudah mengamalkan piawaian e-niaga yang diperlukan serta amalan-amalan mesra pelanggan".

Pengetua dan Ketua Pegawai Eksekutif NYP Jeanne Liew menambah kerjasama sekolah itu dengan CASE akan "membantu mengenal pasti dan menangani jurang dan kelemahan pada amalan-amalan perniagaan untuk menjadi lebih mesra pelanggan".
 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan