Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CASE keluarkan amaran terhadap syarikat sewa kereta susuli aduan deposit tidak dipulangkan

Anggaran Waktu Membaca:
CASE keluarkan amaran terhadap syarikat sewa kereta susuli aduan deposit tidak dipulangkan

(Gambar: Prestige Carz Rental )

SINGAPURA: Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Jumaat (9 Jun) mengeluarkan amaran terhadap sebuah syarikat sewa kereta selepas beberapa pengguna membuat aduan bahawa mereka kerugian wang cengkeram kerana didakwa melakukan kesalahan memandu dengan laju dan perlu membayar yuran pembaikan.

CASE menyatakan ia menerima 23 aduan pengguna terhadap Prestige Carz Rental antara 1 Jun 2022 dengan 5 Jun 2023.

"Secara amnya, pengguna mengadu bahawa deposit jaminan mereka, antara S$1,000 hingga S$2,500, yang dibayar kepada Prestige Carz Rental tidak dipulangan," tambah CASE.

"Beberapa pengguna juga mempertikaikan dakwaan oleh Prestige Carz Rental bahawa kenderaan tersebut rosak ketika disewa dan disuruh untuk membayar yuran pembaikan terhadap kerosakan yang dialami."

Yuran pembaikan itu disebabkan dakwaan berlakunya kerosakan pada kenderaan yang disewa.

Namun, para pengguna mempertikaikan dakwaan tersebut atas dasar tidak menerima sebarang denda atau notis dikeluarkan oleh Polis Trafik atau Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Tiada bentuk bukti lain diberikan terhadap dakwaan memandu dengan laju dibuat oleh Prestige Carz Rental, selain catatan alat pengesan sistem penentu kedudukan global (GPS) milik syarikat yang dipasang di dalam kenderaan, menurut CASE.

Menurut terma dan syarat Prestige Carz Rental, pengguna diwajibkan untuk membayar deposit, yang jumlahnya berbeza-beza berdasarkan kenderaan, tambah CASE.

Deposit tidak akan dipulangkan oleh syarikat itu jika kenderaan dibawa keluar dari Singapura, penyewa melakukan kesalahan trafik dan memandu dengan laju.

DEPOSIT KESELAMATAN DIBATALKAN

Dalam satu kes, seorang pengguna membayar S$2,000 secara keseluruhan, S$500 buat yuran sewa dan S$1,500 deposit yang akan dipulangkan.

Namun pada hari ketiga pengguna berkenaan menyewa kenderaan, syarikat itu merampas balik kereta tersebut dan mengemukakan laporan dalaman mengenai perbuatan memandu dengan laju kepada pengguna, menurut CASE.

Berdasarkan laporan itu, Prestige Carz Rental mendakwa bahawa pengguna melanggar dasarnya dan membatalkan deposit keselamatannya sebanyak S$1,500.

NASIHAT BAGI PELANGGAN KERETA SEWA

Pengguna yang ingin menyewa kenderaan harus memeriksa terma dan syarat "dengan teliti" sebelum memeterai sebarang perjanjian menyewa kenderaan, tegas CASE.

"Khususnya, pengguna harus beri perhatian kepada terma penggunaan, jumlah yang mereka harus tanggung dan cara deposit keselamatan dilaksanakan jika berlakunya pelanggaran terhadap terma atau kerosakan pada kenderaan," tambahnya.

Jika terma dan syarat tidak dipersetujui, pengguna digalakkan tidak meneruskan penyewaan.

Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa sebarang kerosakan dan memetik gambar keadaan kereta selepas mengambil kenderaan yang disewa.

Mana-mana isu atau kerosakan yang sedia ada harus dimaklumkan kepada syarikat sewa supaya kedua-dua pihak jujur antara satu sama lain.

Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat syarikat-syarikat permotoran yang disahkan oleh Persatuan Peniaga Kenderaan-CaseTrust Singapura. Syarikat tersebut komited untuk mengamalkan perdagangan yang adil, jujur dan mempunyai dasar-dasar mesra pelanggan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan