Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CASE gesa peruncit sertai aplikasi banding harga Price Kaki bagi bantu tangani inflasi

Sheng Siong sudahpun memasukkan semua produk barangan dapur jenamanya sendiri ke dalam aplikasi 'Price Kaki'.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Jul 2022 07:12PM Dikemas Kini : 01 Jul 2022 09:31PM
SINGAPURA: Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menggesa lebih banyak peruncit agar menyertai aplikasi perbandingan harganya supaya orang ramai dapat lebih berjimat dalam keadaan inflasi yang tinggi sekarang.

Salah satu rangkaian pasar raya terbesar di Singapura, Sheng Siong, sudahpun memasukkan semua produk barangan dapur jenamanya sendiri ke dalam aplikasi 'Price Kaki'.

Mulai minggu depan, Sheng Siong juga akan menambahkan jumlah potongan harga yang diberikan kepada warga emas.

835 BARANGAN SHENG SIONG DISERTAKAN DALAM 'PRICE KAKI'

Sebanyak 835 barangan jenama Sheng Siong telah dimasukkan ke dalam senarai aplikasi Price Kaki.

Dilancarkan oleh Persatuan Pengguna Singapura (CASE), aplikasi ini membuat perbandingan harga dan tawaran barangan keperluan harian.

Ia termasuk barangan runcit serta keperluan rumah dan makanan yang dijual di pusat-pusat penjaja.

Secara keseluruhan, lebih 6,200 produk kini disenaraikan dalam aplikasi Price Kaki termasuk dari rangkaian pasar raya lain seperti FairPrice dan Giant.

Presiden CASE, Encik Melvin Yong berkata: "Produk-produk jenama sendiri menawarkan apa yang disifatkan saya sebagai harga minimum yang ditetapkan bagi kebanyakan keperluan harian ini.

"Harga barangan itu secara amnya kira-kira 10 peratus hingga 25 peratus lebih murah. Dari segi mutu, dari segi khasiat, saya berpendapat ia sama baiknya.

"Dengan menyenaraikan produk-produk ini ke dalam Price Kaki, saya berpendapat ia memberi para pelanggan lebih banyak pilihan."

SHENG SIONG TAWAR DISKAUN 4% BAGI WARGA EMAS

Malah, Sheng Siong juga akan menawarkan potongan harga istimewa bagi warga emas, termasuk golongan Generasi Merdeka.

Jumlahnya akan naik kepada empat peratus, berbanding tiga peratus sebelum ini.

Inisiatif itu akan dimulakan minggu depan sehingga hujung tahun ini.

Para pelanggan warga emas dapat menikmati potongan harga istimewa itu pada setiap hari Selasa dan Rabu.

Mereka juga boleh mendapat diskaun sehingga tiga peratus pada hari-hari biasa tertentu jika berbelanja di FairPrice dan Giant.

BANTU PERUNCIT DAPAT BEKALAN BERTERUSAN

Sementara itu, pemerintah sedang meningkatkan usaha untuk membantu para peruncit mendapat bekalan yang berterusan di tengah-tengah kos yang meningkat.

Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan, Pengerusi Jawatankuasa Mencegah Pencatutan low Yen Ling berkata: "Kementerian Perdagangan dan Perusahaan sedang bekerjasama dengan semua pasar raya untuk membantu mencari sumber dengan meluas dan pada masa yang sama memastikan kita mempunyai rantaian bekalan yang pelbagai.

"Kami juga bekerja rapat dengan pihak-pihak terutamanya Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) untuk memastikan agar tiada perbuatan anti persaingan. Apa yang kami mahu adalah untuk memastikan wujudnya pasaran yang ada persaingan secara bebas."
Sumber : CNA/AI/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan